Suami isteri berdepan hukuman gantung kerana miliki, edar dadah

Nur Fazlizai Ali
Oktober 15, 2020 16:28 MYT
Kesemua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama. - Gambar Astro AWANI
MARANG: Sepasang suami isteri bersama dua lagi rakan mereka berdepan hukuman gantung kerana memiliki dan mengedar dadah jenis heroin, syabu serta pil kuda.
Tertuduh, Mohd Al-Hafis Ab Razak, 35, bersama isterinya, Sharmilla Salbaan, 26, serta Mohamad Iskandar Shah Zaim, 26, dan Ammarudin Zainuddin, 26, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya disyaki heroin dengan berat kasar 142.3 gram.
Perbuatan itu dilakukan pada 5 Oktober lalu di sebuah rumah di Kampung Klulut, di sini pada pukul 8.30 malam.
Selain itu, kesemua tertuduh turut didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki methamphetamine dengan berat kasar 102.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.
Kesemua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Mohd Al-Hafis turut berdepan 10 lagi pertuduhan mengedar dan memiliki dadah manakala tiga lagi tertuduh termasuk Sharmilla berdepan empat lagi pertuduhan memiliki dadah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan bersalah direkodkan dan mahkamah menetapkan 24 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kesemua tertuduh juga tidak ditawarkan sebarang jaminan.
#suami isteri #edar dadah #miliki dadah #pil kuda #Syabu #heroin
;