Suami isteri berbasikal sambil beri ceramah motivasi di sekolah

Bernama
September 12, 2022 09:15 MYT
Kayuhan yang dinamakan Jiwa Kembara Jelajah Malaysia itu telah bermula di Sabak Bernam, Selangor pada 30 Julai lepas. - Foto Facebook/Jiwa Kembara
KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri, Ahmad Mohd Isa, 34, dan Noradilah Mohd Sapie, 35, melakukan kayuhan basikal mengelilingi Semenanjung selama tiga bulan bagi menyampaikan ceramah motivasi di sekolah, institusi pendidikan dan rumah anak yatim.
Ahmad berkata kayuhan yang dinamakan Jiwa Kembara Jelajah Malaysia itu telah bermula di Sabak Bernam, Selangor pada 30 Julai lepas dan telah singgah lebih daripada 30 sekolah di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
"Kayuhan kami kali ini lebih kepada perkongsian cerita kami berbasikal dari Malaysia ke Makkah pada 2017 selama 15 bulan kepada setiap pelajar supaya dapat dijadikan inspirasi untuk sentiasa bersemangat dan tidak berputus asa dalam mencapai cita-cita mereka.
"Penat lelah kami berkayuh hilang apabila dapat berjumpa dan berkongsi kisah realiti pengembaraan kami kepada mereka," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Pada 8 April 2016, Ahmad dan Noradilah melakukan kayuhan basikal ke Tanah Suci Makkah sejauh 14,000 kilometer bermula dari Kuala Lumpur dan merentasi 14 negara antaranya Thailand, Myanmar, Nepal, India Uzbekistan, Afghanistan, Iran, China, Emiriah Arab Bersatu dan tiba di Arab Saudi pada tahun berikutnya bagi menunaikan umrah.
Ahmad berkata melalui misi tersebut juga, beliau dan isteri mewakaf sejumlah buku Ustazah Basikal di setiap sekolah disinggahi, iaitu novel yang ditulis sendiri mengenai kisah mereka sepanjang pengembaraan dari Malaysia ke Makkah.
"Sebelum memulakan projek ini, saya telah hebahkan dan membuka peluang kepada mana-mana individu untuk bersedekah melalui pembelian buku Ustazah Basikal yang akan disumbangkan ke sekolah-sekolah di seluruh Semenanjung.
"Sumbangan ini diserahkan sendiri oleh saya dan isteri sepanjang kayuhan basikal ini, mudah-mudahan melalui bacaan buku tersebut akan menjadi motivasi dan pengajaran kepada golongan muda," katanya dan menambah menyasarkan untuk menyumbang 500 buku sepanjang kayuhan tersebut.
Bercerita lanjut, Ahmad yang juga pengasas Jiwa Kembara iaitu sebuah agensi pelancongan muslim berkata beliau memperuntukkan sekurang-kurangnya seminggu untuk berada di setiap negeri yang dijelajahinya bagi merancang jadual antara sesi motivasi di sekolah dan sesi kayuhan.
"Bagi mendapatkan rehat dan kekal cergas, ada hari kami akan fokus kepada kayuhan sahaja dan hari lain pula untuk sesi memberi ceramah motivasi sahaja. Pun begitu, ada juga undangan daripada pihak tertentu yang tidak dirancang lebih awal, kami akan pertimbangkan bergantung kepada kesesuaian," katanya.
Sementara itu, Noradilah berkata kayuhan mereka turut diiringi empat rakan termasuk yang bertindak memandu van bagi logistik dan pengangkutan.
"Alhamdulillah, setakat ini perjalanan kami dipermudah, setiap kali kami berkayuh pasti ada yang menegur dan menghulurkan bantuan termasuk menawarkan penginapan untuk kami bermalam," katanya dan menambah kos bagi melakukan ekspedisi itu bermula dengan RM2,000.
-- BERNAMA
#Ahmad Mohd Isa #Noradilah Mohd Sapie #kayuhan #ceramah motivasi
;