Suami ibu tunggal yang maut di Pontian turut maut akibat kemalangan lima tahun lalu

Astro Awani
April 22, 2014 21:24 MYT
Kemalangan maut ragut nyawa tiga beranak di Pontian
Suami mangsa kemalangan di Pontian yang meninggal dunia bersama dua anaknya malam tadi, turut meninggal dunia akibat kemalangan.
Menurut adik ipar mangsa, Mas Ayu Masud, 44, abangnya juga sebelum ini meninggal dunia akibat kemalangan motosikal lima tahun lalu.
“Lima tahun lepas, semasa usia anak bongsunya belum setahun, suami Roslina meninggal akibat kemalangan jalan raya antara motosikal dengan motosikal.
“Saya tidak sangka Allahyarham adik ipar saya yang juga seorang ibu tunggal meninggal dalam kemalangan bersama dua anaknya sekaligus.
Dia berkata mangsa Roslina Mangil, 29 bersama anaknya Muhammad Sufi Jamaluddin, 11 tahun dan Melati Ayu Jamaluddin, 9 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Sawah, Pekan Nenas selepas mendapatkan rawatan untuk salah seorang anaknya yang demam dari Hospital Pontian.
“Saya rasa sedih kerana kehilangan tiga ahli keluarga serentak”, kata Mas Ayu yang kali terakhir bertemu dengan Allahyarham pada minggu lalu ketika melawat anak bongsunya yang dijaga kakak mangsa.
Sementara itu, saksi kejadian, Baharuddin Ahmad Said, 32, berkata dia sedang berbual bersama rakan sekerja sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat dan terus bergegas ke lokasi yang terletak berdekatan kilangnya.
“Saya terdengar bunyi dentuman kuat dan terus ke lokasi untuk melihat apa yang berlaku.
“Suasana pada malam itu gelap dan berkabus tebal, saya tidak dapat melihat kecederaan mangsa, tetapi mereka sudah tidak bernyawa ketika penduduk kampung cuba mengeluarkan mereka dari kenderaan.
“Hanya anak lelaki yang duduk di bahagian penumpang hadapan sahaja yang boleh dikeluarkan, ibu dan anak perempuan tersepit dan kami menunggu bomba untuk mengeluarkan mangsa.
“Jalan ini bukan laluan yang sering terjadi kemalangan, tetapi malam tadi memang berkabus dan kurang jelas serta gelap”, katanya.
Tiga beranak itu terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di kilometer 7.1 Jalan Pontian Besar Parit Sikom pada 10.45 malam semalam.
Kejadian berlaku apabila kenderaan jenis Produa Kelisa yang dinaiki tiga mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta jenis Nissan Serena yang kemudian dirempuh oleh Produa Viva.
Penumpang hadapan Nissan Serena yang mengalami patah tulang rusuk dikejarkan ke Hospital Pontian, bagaimanapun pemandu Nissan Seren, sorang lagi penumpang serta pemandu Perodua Viva tidak mengalami kecederaan.
Mayat ketiga-tiga beranak itu di bawa ke Hospital Pontian untuk di bedah siasat dan selesai lewat petang pada Selasa.
Jenazah di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sawah, Pekan Nenas.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamim mengesahkan kejadian.
#kemalangan #Pontian
;