Suami Heliza Helmi akan perjelas dakwaan terbabit aktiviti 'scam'

Sinar Harian
Februari 27, 2024 13:45 MYT
Mahadi BZ akan membuat penjelasan dalam masa terdekat berhubung dakwaan melakukan aktiviti pelaburan secara tidak sah.
SHAH ALAM: Pengasas dan Presiden AUF MBZ, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman atau lebih dikenali sebagai Mahadi BZ akan membuat penjelasan dalam masa terdekat berhubung dakwaan melakukan aktiviti pelaburan secara tidak sah.
Difahamkan suami kepada penyanyi dan aktivis Datin Seri Heliza Helmi itu sedang berbincang dengan peguamnya.
"Buat masa ini Mahadi BZ serta peguam sedang bermesyuarat dengan pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), insya-Allah kami akan mengeluarkan kenyataan akhbar dalam masa terdekat untuk menjelaskan perkara yang berlaku," kata pembantu peribadinya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Baru-baru ini, SC mengeluarkan kemas kini terbaru 'Investor Alert List' yang mana terdiri daripada mereka yang didakwa melakukan aktiviti pelaburan secara tidak sah sama ada melalui entiti mahupun individu.
Menerusi senarai berkenaan, nama Mahadi disenarai berserta nombor kad pengenalan yang turut mempunyai kesalahan yang dilakukan syarikatnya iaitu AUF MBZ Consortium Plt.
Dalam masa yang sama, bahagian pengenalan senarai tersebut juga menasihati agar orang awam berwaspada dan tidak berurusan atau melabur melalui mereka yang tersenarai kerana perkara tersebut tidak akan dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.
Tertera juga pada paparan yang sama, sesetengah entiti dalam senarai terbabit mungkin menyamar sebagai entiti sah yang digambarkan sebagai 'klon berpotensi' dan ia tidak lengkap dan berdasarkan maklumat yang tersedia kepada SC pada masa penerbitan. - Sinar Harian
#suami Heliza Helmi #Mahadi Badrul Zaman #Mahadi BZ #kes scam
;