Suami diperintah bela diri tuduhan bunuh isteri dengan pemotong daging

Raffi Bachik
April 14, 2016 13:21 MYT
Tertuduh didakwa di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati. - Foto Astro AWANI
Mahkamah Tinggi Muar hari ini menetapkan 25 April depan sebagai tarikh pembelaan terhadap seorang penganggur atas pertuduhan membunuh isterinya pada 8 Februari 2014.
Tertuduh, Ang Kwee Boo, 46, dituduh membunuh isterinya, Tan Wei Chyi, 37, di kediaman mereka di Taman Setia Jaya, di Batu Pahat, Johor.
Pesuruhjaya Kehakiman, Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Ang Kwee Boo dituduh membunuh isterinya itu menggunakan pisau pemotong daging dengan menetak di bahagian leher isterinya di bilik utama di tingkat satu rumah pasangan itu.
Tertuduh kemudiannya bertindak mengadu kepada jirannya mengenai kejadian itu dan meminta bantuan jirannya itu melaporkan kepada polis.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariati Zainal manakala tertuduh diwakili peguam, Visvanathan Nair Govindan Nair.
Tertuduh didakwa di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
#Ang Kwee Boo #Batu Pahat #bunuh #Muar #pemotong daging #Tan Wei Chyi
;