Suami diingatkan tidak sembunyi pernikahan baharu - Peguam

Farhan Hakimi
Jun 19, 2024 13:22 MYT
Akberdin mengingatkan para suami, kebenaran berpoligami akan ditentukan hakim mahkamah syariah selepas permohonan dikemukakan, berdasarkan empat kriteria yang ditetapkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Para suami yang ingin mengamalkan poligami diingatkan supaya tidak menyembunyikan pernikahan bersama isteri baharu agar tidak menimbulkan sebarang masalah.
Sebaliknya, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, golongan itu perlu bersikap bertanggungjawab dan berani, termasuk untuk tampil ke pejabat agama membuat permohonan mengikut saluran ditetapkan.
"Bagi saya, suami tak perlu khuatir. Kalau rasa mampu, tiada masalah. (Kalau) ada keperluan serta mampu berlaku adil dan tidak bawa mudarat kepada isteri, tidak perlu takut.
"'Be a man' dengan cara lakukan proses pernikahan di sini (dalam negara).
"Meskipun persetujuan daripada isteri pertama tidak wajib, setidak-tidaknya hakim mahkamah boleh mendengar apa yang ingin disuarakan isteri pertama berkenaan permohonan suami.
"Andai kata pihak mahkamah mendapati suami mempunyai syarat yang diperlukan, dan alasan untuk bernikah seorang lagi itu munasabah, mahkamah boleh benarkan," ujarnya.
Akberdin berkata demikian mengulas tindakan segelintir lelaki yang memilih melangsungkan pernikahan di selatan Thailand untuk berpoligami, atas alasan tidak mendapat kebenaran isteri pertama.
Beliau mengingatkan para suami, kebenaran berpoligami akan ditentukan hakim di sesebuah mahkamah syariah selepas permohonan dikemukakan.
Penilaian kemudiannya akan dibuat berdasarkan empat kriteria yang ditetapkan bagi seseorang melakukan poligami.
Antaranya, kata Akberdin, ialah tuntutan dari segi undang-undang yang boleh dikemukakan isteri pertama sekiranya merasakan terdapat bentuk penganiayaan dan ketidakadilan yang dilakukan suami.
"Jika isteri pertama dapat tahu (tentang ketidakadilan suami), dia boleh membuat permohonan kepada mahkamah agar satu kadar nafkah ditentukan supaya keadilan bagi isteri pertama dapat diwujudkan.
"Keadilan bagi isteri pertama juga boleh dilihat dalam Seksyen 23 (10) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003," katanya.
Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa, setiap mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan poligami didaftarkan di bawahnya, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan tersebut untuk memerintahkan apa-apa aset yang telah diperoleh dalam masa perkahwinan, dibahagi antara mereka, tambahnya.
Beliau berkongsikan ilmu perundangan syariah tersebut dalam program AWANI Pagi hari ini.
Sebelum ini, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat mendedahkan, sekurang-kurangnya 30 pasangan dari Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu datang ke wilayah berkenaan setiap bulan untuk bernikah dan berpoligami.
Bagaimanapun, setiap pasangan yang ingin berpoligami di Thailand perlu membuat pengesahan di Pejabat Konsulat Besar Malaysia di Songkhla dan mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia semula bagi mengelak sebarang masalah yang timbul kemudian.
AWANI Pagi: Kes nikah, poligami di Thailand
#mahkamah syariah #poligami #Akberdin Abdul Kader #nafkah
;