Suami cemburu nafi 'hempuk' isteri dengan topi keledar, besi
Shuhada Abdul Kadir
Februari 28, 2019 12:51 MYT
Februari 28, 2019 12:51 MYT
Dipercayai akibat cemburu buta, seorang pencuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas bertindak memukul isterinya menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal sehingga mengalami kecederaan.
Tertuduh, Syed Mohd Norhasrul Tuan Rosely, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap isterinya berusia 31 tahun dengan memukul menggunakan topi keledar dan pengunci besi motosikal ‘forge lock’ di seluruh badan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ujong Pasir, Melaka sekitar 8.30 pagi, 9 Oktober 2018 lalu.
Justeru tertuduh didakwa mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan bersama seksyen 326(a) kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Intan lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan RM20,000 serta syarat-syarat tambahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan dan hanya mendiamkan diri sepanjang prosiding.
Norma pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan mengarahkannya untuk tidak mengganggu mangsa dan saksi serta menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Difahamkan, kejadian tercetus selepas tertuduh berang apabila dia pergi ke tempat kerja isterinya dan mendapati wanita berkenaan tiada.
Dipercayai akibat terlalu cemburu, tertuduh menyangkakan isterinya keluar bersama teman lelaki, sedangkan wanita berkenaan hanya keluar untuk membeli makanan.
#cedera
#kereta
#lelaki
#mahkamah
#Mahkamah Sesyen
#mangsa
#Melaka
#Syed Mohd Norhasrul Tuan Rosely
#topi keledar
#wanita