Suami beria pilih tema 'maroon' sambut Aidilfitri - Isteri Allahyarham Norhalim
Sinar Harian
Mei 9, 2021 06:04 MYT
Mei 9, 2021 06:04 MYT
TEMERLOH: Desakan suami untuk memilih warna maroon atau merah manggis untuk tema raya tahun ini antara kelainan sikap ditunjukkan Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran yang ditemukan maut dengan kesan tembakan pada bahagian atas telinga kanan di sebuah rumah sewa di Taman Permai, Sibu, Sarawak.
Isteri mangsa, Nor Fitrah Ramli, 25 memberitahu arwah suaminya beria-ria untuk memilih warna tersebut berbanding warna pilihannya, hijau.
"Saya pun rasa pelik tapi saya ikutkan kehendaknya yang telah memilih warna tersebut dan arwah suami juga sudah membeli semua keperluan untuk saya, anak menerusi pembelian atas talian.
"Oleh kerana kami tidak dapat beraya bersama kerana arwah perlu bertugas, suami sendiri meminta saya mengubahsuai gambar kami anak-beranak supaya gambarnya diletak bersama saya dan anak-anak," katanya pada Sinar Harian.
Nor Fitrah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di kediaman keluarga Norhalim di Felda Bukit Damar, Lanchang di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.
BACA: Konstabel mati tertembak: 'Dia sempat beli pakaian raya untuk keluarga, bayar zakat fitrah' - Isteri
Dalam pada itu, Nor Fitrah mengakui, dia masih belum memikirkan sebarang perancangan untuk masa depannya dan anak mereka, Nur Asyifa Alisha setakat ini.
"Cuma arwah suami memang menggalakkan saya menceburi bidang perniagaan malah sepanjang Ramadan kali ini buat pertama kalinya, saya menghasilkan biskut raya, cornflakes madu dan semprit susu yang diletakkan di kedai-kedai untuk membantu meringankan beban suami.
"Sebelum ini, saya pernah bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai 'collector' sebelum berhenti kerja dan kembali ke sini," ujarnya menamatkan zaman bujang mereka pada 19 April 2019.
Dalam kejadian pada 6 Mei lalu, Norhalim, 25 yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti ( JPJKK) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Sarawak ditemukan maut dengan kesan tembakan pada bahagian atas telinga kanan di sebuah rumah sewa di Taman Permai yang disewa rakannya.
Kejadian berlaku apabila rakannya yang juga anggota polis bergurau sambil mengacukan pistol pada Norhalim yang difahamkan datang ke rumah tersebut untuk bermain permainan komputer sambil menunggu waktu berbuka.
Artikel asal di Sinar Harian: 'Suami beria pilih tema 'maroon' sambut Aidilfitri'
#maroon
#Norhalim Tumiran
#Nor Fitrah Ramli
#Taman Permai
#konstabel
#maut tertembak oleh rakan
#Acryl Sani Abdullah Sani
#Felda Bukit Damar