Suami berang tampar isteri kerana keluar bekerja

Sinar Harian
Julai 15, 2018 18:48 MYT
Menurut sumber, suspek bertindak demikian kerana mahu menggunakan kereta milik mangsa sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara mereka. - Gambar hiasan
Seorang wanita cedera dibelasah suami gara-gara berdegil masih mahu pergi bekerja meskipun dihalang lelaki itu, dalam kejadian di Kuala Ibai, di sini, Jumaat lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi, ketika mangsa, 38, yang berada di rumahnya di Kondo Rakyat, Kuala Ibai, di sini, hendak keluar bekerja sebelum dihalang oleh suspek, 40.
Menurut sumber, suspek bertindak demikian kerana mahu menggunakan kereta milik mangsa sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara mereka.
"Suspek bertindak agresif merampas kunci kereta di tangan wanita itu dan terus masuk ke dalam kereta bertujuan melarikan kenderaan yang digunakan mangsa untuk berulang-alik ke tempat kerja.
"Mangsa nekad tidak mahu mengalah dan terus masuk ke dalam kereta di bahagian penumpang hadapan dengan niat untuk menghalang tindakan suspek.
"Bagaimanapun, semasa di dalam kereta, mangsa ditampar beberapa kali sebelum suspek memandu kenderaan itu dan meninggalkan mangsa di bawah jambatan Kuala Ibai, di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber berkata, mangsa yang ditinggalkan tanpa belas simpati menghubungi adik iparnya bagi meminta bantuan sebelum dihantar pulang ke rumah.
"Semasa di rumah, sejurus ternampak kelibat suspek, mangsa bertindak menghubungi polis meminta agar datang ke rumah kerana bimbang akan keselamatan dirinya.
"Bagaimanapun, selepas pihak polis tinggalkan rumah, sekali lagi berlaku perselisihan faham sebelum suspek bertindak menampar dan terkena di hidung mangsa," katanya.
Jelas sumber, mangsa mendakwa suspek sebelum ini sering memukulnya terutama apabila berlaku perselisihan faham meskipun hanya perkara kecil.
"Malah mangsa mendakwa pernah beberapa kali membuat laporan polis kerana tindakan suaminya dan pada awal bulan ini, mangsa mendakwa dipukul suspek sehingga patah ibu jari kaki dan lebam di seluruh badan.
"Bimbang perkara sama berulang kembali dan tidak tahan sering menjadi mangsa keganasan suaminya, wanita itu mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya selain sebagai rujukan di Mahkamah Syariah nanti," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika menghubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
Jelasnya, kes berkenaan kini sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
#bekerja #belasah #isteri #Kondo Rakyat #Kuala Ibgai #suami
;