SU Politik MB Selangor digantung keahlian PKR kerana ugut Manikavasagam
Astro Awani
Mei 15, 2014 14:12 MYT
Mei 15, 2014 14:12 MYT
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Mustapha Mohd Talib digantung serta merta dari PKR kerana didakwa membuat ugutan melalui perbualan telefon terhadap pembantu khas penyelaras DUN Bukit Melawati untuk menamatkan khidmat bekas ahli parlimen Kapar S Manikavasagam sebagai penyelaras DUN itu.
Pengerusi Lembaga Displin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata Mustapha akan diberi surat tunjuk sebab dan penggantungan tersebut dibuat sehingga siasatan selesai.
Sementara itu, Manikavasagam juga digantung serta merta dari PKR kerana mendakwa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terlibat dalam politik wang bagi pemilihan Cabang Kuala Selangor sehingga ke pengetahuan media.
Dr Tan berkata kenyataan Manikavasagam terhadap Khalid itu telah disiar dalam berita TV1 dan Buletin Utama TV3 pada 11 Mei 2014, dan dalam akhbar Utusan Malaysia pada keesokan hari.
"Ini merupakan pelanggaran Perkara B.7 Tataetika Pemilihan iaitu 'Sebarang perselisihan berkaitan dengan Pemilihan Parti dilarang sama sekali dibawa kepada media atau dihebahkan kepada umum'," kata Tan dalam satu kenyataan hari ini.
Pada pemilihan kali ini, Manikavasagam mencabar Abdul Khalid merebut jawatan ketua Cabang Kuala Selangor.
Dr Tan berkata kes melibatkan Mustapha dan Manikavasagam telah dibentang dan diputuskan dalam dalam mesyuarat Biro Politik PKR pada Rabu.
Selain Mustapha dan Manikavasagam, beberapa nama lain juga digantung hingga siasatan selesai atas dakwaan melanggar peraturan yang ditetapkan.
Antaranya, Md Yusop Kamaruddin dari Cabang Pasir Salak yang digantung kerana membuat kenyataan mengkritik Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan PKR di laman Facebooknya.