STW modul baharu untuk penduduk Pahang miliki tanah sendiri

Norfarhiza Mohd Atar
Ogos 13, 2022 18:27 MYT
Kerajaan Pahang memperkenalkan Skim Tanah Warisan (STW) sebagai modul baharu penempatan bagi penduduk luar bandar yang kurang berkemampuan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Gambar fail
LIPIS: Kerajaan Pahang memperkenalkan Skim Tanah Warisan (STW) sebagai modul baharu penempatan bagi penduduk luar bandar yang kurang berkemampuan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) tahun lalu, kerajaan negeri bersetuju mewujudkan STW bertujuan mempelbagaikan lagi skim tanah yang sedia ada bagi memaksimumkan pemilikan tanah untuk rakyat di negeri ini.
Menurut beliau, projek rintis bagi pelaksanaan program STW ini adalah di Kuala Medang, Lipis di atas tanah kerajaan seluas 30.425 hektar yang akan memberi manfaat kepada 250 orang peserta.
"Keluasan bagi setiap lot tanah kediaman adalah antara 8,000 kaki persegi hingga 10,000 kaki persegi dan bayaran premium bagi setiap plot telah ditetapkan sebanyak RM10,000 sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dan Penyerahan Surat Tawaran STW Pahang dan Penyampaian Suratan Hak Milik Rancangan Felcra di Kuala Medang, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 250 penduduk menerima surat tawaran STW dan 169 penduduk menerima suratan hak milik Rancangan Felcra.
Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai berkata, tujuan utama skim ini dilaksanakan adalah untuk meringankan beban kewangan peserta bagi memiliki lot tanah dan membina kediaman sendiri.
Jelasnya, di bawah program STW, lot-lot tapak perumahan tersebut akan ditawarkan pada harga yang sangat minimum dan kerajaan negeri juga bersetuju memberikan subsidi kepada premium tanah serta kos pembangunan infra.
"Program ini melibatkan pemberian hak milik tanah lot-lot perumahan seperti Rancangan Tanah Kelompok (RTK) dan Skim Tanah Rakyat (STR).
"Bezanya, STW ini dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem perparitan, bekalan air, elektrik dan lain-lain," katanya.
Wan Rosdy berkata, kumpulan sasar skim ini adalah terdiri daripada penduduk setempat yang berpendapatan rendah dan peserta perlu membina rumah dalam tempoh lima tahun namun bergantung pada budi bicara Lembaga Perumahan.
Ujarnya, hak milik tanah turut diberi moratorium selama 10 tahun dan peserta dibenarkan mencagar di mana-mana institusi pinjaman bagi mendapatkan pinjaman untuk membina rumah di atas lot tanah berkenaan.
"Kos pembinaan rumah pula ditanggung sepenuhnya oleh peserta, yang mana reka bentuk dan luas rumah adalah terpulang kepada peserta mengikut kemampuan kewangan serta kesesuaian lot tapak yang diperolehi.
"Walau bagaimanapun, pembinaan rumah tersebut perlu mendapat kelulusan oleh Pihak Berkuasa yang berkenaan,” jelas beliau.
Wan Rosdy berkata, selepas ini projek STW akan dilaksanakan di Pekan diikuti daerah lain.
“Kita cadang akan berikan kepada setiap Parlimen dan pihak berkaitan perlu mencari tanah yang sesuai untuk dilaksanakan STW," katanya.
#Skim Tanah Warisan #Kerajaan Pahang #pemilikan tanah #Wan Rosdy Wan Ismail
;