Struktur tiang LRT selamat, Lebuhraya Persekutuan dibuka kepada lalu lintas

Bernama
November 23, 2014 20:25 MYT
Struktur tiang laluan Projek Penyambungan Jajaran LRT di Lebuhraya Persekutuan adalah selamat.
Struktur tiang laluan Projek Penyambungan Jajaran LRT di Lebuhraya Persekutuan adalah selamat dan stabil walaupun khabar angin disebarkan dalam media sosial kononnya ia tidak stabil, kata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Prasarana berkata pihaknya membawa turun kren gantri yang didapati senget petang semalam dan ini menyebabkan lalu lintas di Lebuh raya Persekutuan dilencongkan untuk sementara.
"Jurucakap projek berkata kontraktok projek yang menjalankan kerja-kerja persediaan bagi mengangkat galang kotak bersegmen, yang disepatutnya dijalankan lewat petang semalam, mendapati struktur tiang pada kren gantri senget pada tengah hari.
"Keputusan dibuat untuk membawa turun kren pengangkut itu bagi keselamatan orang ramai dan lalu lintas dilencongkan sementara untuk membolehkan kerja-kerja membawa turun kren dijalankan," kata Prasarana dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lalu lintas di Lebuh raya Persekutuan kembali seperti biasa kira-kira 8 malam tadi.
Sementara itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) juga menjelaskan bahawa insiden itu tidak ada kaitan dengan projek MRT.
Dalam kenyataan di sini, (MRT Corp) berkata insiden itu secara khilaf dikaitkan dengan Projek Mass Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT) Jajaran Sungai Buloh-Kajang.
#condong #gantri #Lebuhraya Persekutuan #LRT #prasarana #senget
;