Struktur bot rosak, paras Sungai Perak surut punca Balai Gambang tak beroperasi
Aida Aziz
Februari 23, 2024 09:45 MYT
Februari 23, 2024 09:45 MYT
IPOH: Balai Gambang Cempaka Sari (BGCS) dihentikan operasi sementara waktu sejak tahun lalu ekoran struktur bot yang usang dan rosak, selain paras air Sungai Perak surut.
Menurut jurucakap Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), walaupun pihaknya telah melakukan kerja baik pulih berterusan, namun struktur yang usang menyebabkan operasi tidak dapat diteruskan kerana boleh membahayakan keselamatan pengunjung.
"Paras air Sungai Perak surut ke paras yang terlalu rendah pada Mac hingga Disember 2023.
"Struktur bot yang lama dan faktor cuaca panas melampau mengakibatkan BGCS mengalami kerosakan yang lebih buruk.
"Bagi memulihara BGCS dan mengekalkannya sebagai khazanah warisan, PKNPk telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak bagi membaik pulih dan menyelenggara keseluruhan BGCS," katanya.
Dalam pada itu katanya, kos dianggarkan sekitar RM100,000.
Selain itu, jelasnya, JKR Perak turut meninjau keadaan bot pada November tahun lalu dan telah mengenal pasti kerosakan yang meliputi tiang dan dinding yang reput, kertas dinding lusuh dan koyak serta kebocoran lantai bot di bahagian tengah.
"Dalam masa sama, PKNPk sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Muzium Perak untuk menjadikan BGCS sebagai bahan pameran warisan bersejarah di negeri ini.
"Terkini PKNPk dalam proses fasa akhir menyerahkan semula BGCS kepada JKR Perak untuk diperbaiki dan diselenggara sepenuhnya," katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan, ramai yang tertanya-tanya, tidak kurang juga meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat belayar di Sungai Perak dengan menaiki Balai Gambang Cempaka Sari di Kuala Kangsar.
Lebih-lebih lagi ketika rancak diuar-uarkan tentang Tahun Melawat Perak 2024, semestinya ramai mata tertumpu di negeri ini bagi mencari lokasi beriadah bersama keluarga.
Balai Gambang wujud sejak tahun 1754, dibina bersempena pertabalan sultan baharu dan ia menjadi simbolik kepada Kesultanan Melayu Perak.
BGCS dibina sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 13 Mei 2015.
Selepas istiadat pertabalan tersebut, BGCS diserahkan kepada PKNPk oleh JKR Perak bagi tujuan tarikan pelancongan di Kuala Kangsar.
BGCS digerakkan oleh tiga buah enjin sangkut, dan boleh memuatkan 25 penumpang dalam satu masa menelusuri Sungai Perak (Kuala Kangsar) dengan jangka masa pelayaran sekitar 30 hingga 40 minit.