Strok haba: Warga kota siap siaga hadapi gelombang panas

Isabelle Leong
Februari 26, 2019 07:30 MYT
Warga kota sudah siap siaga untuk menghadapi fenomena cuaca kering dan panas ekstrem yang melanda negara pada ketika ini.
Pada sekitar jam 2:21 petang 26 Februari, suhu di sekitar ibu negara adalah pada 38 darjah celsius.
Semalam, cuaca di Lembah Klang direkod sebagai antara antara yang paling panas, menurut jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Cuaca panas ini menyaksikan rata-rata warga kota sedar akan bahaya strok haba.
Jika suhu maksimum harian melebihi 37 darjah celsius hingga mencecah 40 darjah celsius sekurang-kurangnya untuk tiga hari berturut-turut, ia adalah tahap 2 gelombang haba iaitu ‘heatwave’.
Tinjauan Astro AWANI di sekitar Lembah Klang pada Selasa mendapati kebanyakan orang ramai sudah mula mengambil langkah berjaga-jaga untuk berdepan dengan cuaca panas ini.
“Kebiasaannya, saya akan sediakan bekalan air di dalam kotak motosikal. Kadang-kadang apabila haba terlampau panas dan terdapat banyak habuk, saya pakai topeng untuk menutup muka.
“Untuk orang ramai, saya nasihatkan sediakan bekalan air dan juga gunakan payung,” kata jurugambar, Faihan Ghani.
BACA: Lembah Klang antara terpanas hari ini
Bagi orang ramai yang perlu menjalankan urusan di luar, kebanyakannya memilih untuk berada di tempat yang teduh ataupun berhawa dingin.
“Saya akan syorkan untuk berada di kawasan yang redup dan tidak terdedah dengan haba di kawasan panas.
"Terutamanya, di kota raya yang sangat bahaya dengan pencemaran udara, seperti asap kereta, asap rokok dan sebagainya,” kata Mohd Ibrahim Kamil Abdul Hadi, seorang pegawai di Ibu Pejabat Tabung Haji, ketika ditemui kru Astro AWANI.
BACA: Cuaca panas sehingga pertengahan April - MetMalaysia
Sementara itu, pengurus pemasaran Kee SC pula berkata, orang ramai perlu mengamalkan diet yang mengandungi lebih cecair.
“Pastikan kita minum banyak air dan mengambil berat diet kita.
“Makan makanan yang mempunyai kandungan cecair yang banyak seperti jus buah-buahan untuk memastikan kita tidak mengalami dehidrasi,” kata Kee.
BACA: Cuaca panas dijangka berterusan hingga hujung Mac ini
Seorang lagi warga kota menasihatkan mereka yang perlu melakukan urusan di luar supaya membuat perancangan awal bagi mengelak daripada terperangkap dalam cuaca yang ekstrem ini.
“Jika hendak keluar daripada rumah, buat perancangan dahulu. Keluar pada waktu di mana cuaca agak mendung dan keluar pada lewat petang atau awal pagi.
“Tentunya, kurangkan aktiviti di luar ketika suhu agak tinggi,” tegas seorang lagi pegawai di Ibu Pejabat Tabung Haji, Muhammad Asyraf Khalidibniwalid.
Ternyata warga kota sudah siap siaga untuk menghadapi fenomena cuaca kering dan panas ekstrem yang melanda negara pada ketika ini.
Malah, fenomena cuaca panas sebegini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di beberapa negara lain, contohnya United Kingdom (UK).
Pada kebiasaannya, Februari merupakan musim sejuk, namun menurut Jabatan Meteorologi UK (Met Office) pada Selasa, suhu negara itu mencecah 20.6 darjah celsius dan menjadikannya hari paling panas dalam sejarah semasa musim sejuk.
Met Office juga mengaitkan fenomena ini dengan perubahan iklim.
Sementara itu, di Malaysia, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka, kurang memakai pakaian gelap dan minum air secukupnya berikutan cuaca panas yang dijangka berakhir penghujung Mac ini.
#air #cuaca #gelombang #haba #Panas #siap siaga #strok haba #suhu tinggi #teduh
;