Strok haba: Seorang masih dirawat di ICU, seorang di wad biasa - KKM

Astro Awani
Mac 26, 2024 16:18 MYT
Semua pihak diingatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrat yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak dan di luar rumah. - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seorang lelaki berusia 24 tahun yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson akibat strok haba kini berada dalam keadaan tidak stabil.
Manakala seorang lagi lelaki berumur 22 tahun yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Sultanah Maliha, Langkawi telah dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan stabil.
"Sementara 25 kes lain telah mendapat rawatan dan sembuh," kata kenyataan tersebut hari ini.
KKM juga memaklumkan sebanyak 28 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan di mana ianya melibatkan 19 kes kelesuan haba dan sembilan kes strok haba.
Menurut kenyataan tersebut, tiada kes kejang haba dilaporkan setakat ini.
Kedah merupakan yang paling tinggi dengan 8 kes, diikuti Perak 7 kes, Selangor (3), Negeri Sembilan (3), Sabah (3), Perlis (2), Johor dan Pahang masing-masing 1 kes.
"Seramai 23 orang pesakit berumur di antara 20 hingga 59 tahun, manakala selebihnya (5 orang) adalah remaja berumur di antara 13 hingga 19 tahun," kata kenyataan tersebut.
Pada Isnin media melaporkan terdapat satu kes kematian akibat strok haba melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh, Pahang.
KKM menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak dan aktiviti lain di luar rumah.

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia Status Semasa Penyakit Berkaitan Cuaca Panas pic.twitter.com/ucvkBT5fMq

— KKMalaysia (@KKMPutrajaya) March 26, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#cuaca panas #Kementerian Kesihatan #kematian #strok haba
;