Strok haba disyaki punca kematian dua remaja yang ditemui dalam kereta
Bernama
Januari 31, 2017 22:01 MYT
Januari 31, 2017 22:01 MYT
Laporan awal bedah siasat ke atas mayat dua remaja lelaki ditemui dalam sebuah kereta di sini semalam percaya mereka meninggal dunia disebabkan 'strok haba' atau kepanasan melampau dalam kenderaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata Jabatan Kimia akan menjalankan siasatan lanjut ke atas kedua-dua mangsa - Mohamad Sharul Nizam Hasbullah dan Nik Muhammad Hafiz Nik Zamzam, masing-masing berusia 18 tahun.
"Polis juga akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan salah seorang bapa mangsa ternampak individu ketiga dalam kereta terbabit sebelum kehilangan mangsa dilaporkan kepada polis pada Sabtu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Ab Rahman berkata setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut tetapi siasatan akan terus dijalankan sama ada ia ada kaitan dengan kes jenayah.
Semalam, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat dua remaja tersebut daripada orang awam, dalam kereta Perodua Kelisa di hadapan sebuah rumah di Kampung Panchor, Kemumin, pada pukul 5.55 pagi.
Siasatan awal ke atas mayat Mohamad Sharul Nizam dari Kampung Gertak Sagu dan Nik Muhammad Hafiz dari Kampung Panchor, Kemumin, mendapati tiada sebarang kesan kecederaan. -- Bernama
#Ab Rahman Ismail
#Ketua Polis Kelantan
#Mayat remaja ditemui
#Mohamad Sharul Nizam Hasbullah
#Nik Muhammad Hafiz Nik Zamzam