Strok haba: APM tidak kurangkan sesi latihan

Abd Razak Mohd Ali
Mei 17, 2024 10:15 MYT
Aminurrahim (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Astro AWANI, Abd Razak Mohd Ali.
IPOH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tidak akan mengurangkan latihan sedia ada susulan kematian seorang anggota akibat strok haba pada April lalu.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, sesi latihan itu, bagaimanapun, akan disesuaikan mengikut keadaan cuaca bagi mengurangkan risiko.
Menurut beliau, APM juga sudah mendapat nasihat dan taklimat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) agar mengambil langkah lebih berwaspada dalam latihan ketika musim panas.
"Kita tidak menjuruskan kepada pengurangan latihan tetapi bentuk-bentuk latihan dalam situasi-situasi latihan itu… kita akan mengambil kira lokasi dan cuaca sebagai contoh biasanya kita buat latihan sebelah malam kalau tengah hari kita kena kurangkan atau elakkan.
"Tetapi dari segi latihan kita tidak akan kurangkan kerana kita ada KPI (petunjuk prestasi utama) dan kena pastikan warga APM dalam keadaan siap siaga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikan Pelantikan Pegawai Kehormat serta Penganugerahan Reben Perkhidmatan dan Kecemerlangan APM Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, malam tadi.
Pada 22 April lalu, seorang anggota APM Pulau Pinang meninggal dunia selepas dikatakan rebah dan disahkan koma sejak 9 Mac lalu ketika menjalani latihan di Port Dickson.
Allahyarham Muhammad Afiq Ammar, 25, yang dipercayai terkena strok haba pada mulanya dimasukkan ke Hospital Port Dickson namun dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, selepas kesihatannya semakin merosot.
Dalam perkembangan lain, Aminurrahim berkata, APM telah bersiap sedia menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula hari ini dengan beberapa penambahbaikan melibatkan kerjasama daripada agensi berkaitan.
Menurutnya, berdasarkan laporan daripada Jabatan Meteorologi (Met Malaysia), MBD yang berlangsung kali ini diramal sederhana dan tidak ekstrem.
"Oleh kerana Met Malaysia menjangkakan dalam keadaan sederhana, maka kita akan meneruskan apa yang kita telah laksanakan pada tahun lepas dengan penambahan agensi yang bekerjasama dengan kita.
"Macam tahun lepas kita telah membuat sembilan kerjasama dengan agensi terlibat dan tahun ini kita akan tingkatkan terutama dalam kalangan PBT (pihak berkuasa tempatan) dan ketua-ketua masyarakat seperti imam, ketua kampung, penghulu, tok batin dan sebagainya," ujarnya.
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #APM #sesi latihan APM #Aminurrahim Mohamed
;