Strider bantu pembangunan minda, keyakinan kanak-kanak
Dania Zainuddin
Mac 13, 2016 17:52 MYT
Mac 13, 2016 17:52 MYT
Kanak-kanak perlu digalakkan untuk terlibat dalam aktiviti fizikal seperti bersukan, rekreasi luar dan menikmati persekitaran alam semula jadi.
Ketua Pengedar Strider Malaysia, Fred Cheong menegaskan ia lebih bermanfaat dalam pembangunan minda, koordinasi anggota badan serta keyakinan diri kanak-kanak berbanding penggunaan gajet teknologi.
"Kanak-kanak zaman ini sangat ketagih dengan penggunaan gajet seperti iPhone atau tablet untuk menonton video di laman YouTube atau menggunakan aplikasi permainan.
"Kadang-kadang saya lihat bayi seawal 9 bulan diberi telefon pintar. Saya sememangnya tidak bersetuju dalam hal ini," katanya dalam temu bual khas Astro AWANI selepas menganjurkan Perlumbaan Strider Malaysia untuk kali pertama, di Putrajaya pada Sabtu.
Sementara itu, mengulas acara perlumbaan Strider Malaysia, Fred berkata ia melibatkan 56 kanak-kanak seawal usia 2 tahun hingga 5 tahun dari seluruh Malaysia untuk berlumba basikal tanpa pengayuh.
Beliau berkata, ini adalah matlamat kami, untuk mengalakkan ibu bapa membawa anak mereka keluar beriadah bersama anak mereka.
"Basikal Strider yang hanya seberat 3kg ini memberi peluang kepada kanak-kanak kecil seawal 18 bulan untuk menggunakan basikal dua roda.
"Ia berfungsi sebagai latihan awal untuk belajar mengimbangi ketika menaiki basikal sebelum mereka menggunakan pengayuh," kata Fred.
Antara ibu bapa yang ditemui menyifatkan program seperti ini amat baik kerana ia menyediakan aktiviti sihat untuk kanak-kanak pra-sekolah selain memenuhi masa lapang mereka.
"Acara yang diadakan hari ini adalah amat baik, kerana kita lihat, tidak banyak aktiviti sebegini yang disediakan kepada kanak-kanak seawal usia dua tahun.
"Permulaan yang awal boleh membina potensi dan kelebihannya adalah untuk kecergasan serta keyakinan dalam kehidupan anak kita.
"Selain membina keyakinan, aktiviti sukan juga dapat beri peluang untuk membina dan meningkatkan rangkaian perhubungan dengan peserta lain," kata Jennifer Md Jalil, 38 tahun, ibu kepada peserta.
Katanya lagi, melihat kejayaan dalam pembelajaran oleh anaknya, beliau yakin aktiviti seperti bersukan adalah antara penyumbang kepada prestasi tersebut.
Kebanyakan ibu bapa juga mengakui telah memainkan peranan sebagai pelatih kepada anak memandangkan mereka juga berpengalaman dalam berbasikal.
Bagi seorang bapa, Misban Jasmin, 34 tahun, dan isterinya, Aisyah Md Aris, 34 tahun dari Kuantan, mereka berdua sudah memulakan aktiviti berbasikal sejak 2014.
"Dia (isteri) memang selalu naik podium. Dengan itu, kami mengalakkan dan mahu memberikan pendedahan kepada anak kami untuk memasuki acara seperti hari ini.
"Basikal strider ini lebih mudah untuk diimbangi berbanding basikal tiga/empat roda. Risiko untuk jatuh sangat kurang," kata Misban.
Anak kepada pasangan ini, Aisy Muhammad Mikhail Misban yang baru berusia 2 tahun adalah peserta yang memenangi 3 kali pusingan dalam perlumbaan Strider Malaysia.