Streram berjanji akan selesai isu perumahan rakyat di Rantau
Rahimah Abdullah
April 2, 2019 15:32 MYT
April 2, 2019 15:32 MYT
Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram sudah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri Sembilan untuk mempertimbangkan untuk membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Rantau.
Pada masa yang sama, beliau berjanji untuk membawa isu projek perumahan yang terbengkalai ke pihak berkaitan bagi memastikan penduduk memiliki rumah sendiri.
“Penduduk cakap pasal perumahan dan saya dan cakap dekat MB Negeri Sembilan dan pimpinan Pusat untuk membina rumah PPR dan PR1MA saya nak selesaikan ini.
"Saya hendak penduduk dan pengundi mesti ada sebuah rumah di DUN Rantau ini,” katanya kepada media selepas melakukan sesi bertemu masyarakat di Sendayan, Rantau pada Selasa.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan bahawa pengundi di Rantau mahukan PPR atau perumahan mampu milik dibina di Rantau.
Bilangan penduduk yang semakin bertambah di Rantau dikatakan menyebabkan penduduk berdepan dengan masalah kekurangan tempat tinggal di bandar kecil itu.
Dalam pada itu, beliau turut kecewa dengan kebanyakan projek perumahan PR1MA di Rantau yang banyak diberikan kepada penduduk luar dari negeri itu.
Pada masa sama, projek berkenaan turut bermasalah dan terbengkalai berikutan masalah kewangan dihadapi kontraktor.
“Itulah kesalahan BN, mereka jual rumah kepada orang-orang luar. Banyak rumah di Bandar Ekar tidak dibina lagi. Mereka sudah bina tetapi belum siap sebab kontraktor ada masalah kewangan.
"Bagaimana nak selesaikan masalah. Kita kena kaji dan buat satu prosedur untuk mereka siapkan rumah itu dan beri kepada penduduk di sini. Rumah itu dijual kepada lain terutama projek di Bandar Ekar dan Siliau,” kata beliau lagi.
#Astro Awani
#Barisan Nasional
#Dr S Streram
#Kerajaan Negeri Sembilan
#Negeri Sembilan
#Pakatan Harapan
#prk rantau
#Rantau Memilih
#Sendayan
#Seremban