Strategi politik Anwar macam gimnastik, kata Rais Yatim
Wan Syamsul Amly
April 2, 2014 16:32 MYT
April 2, 2014 16:32 MYT
Strategi menjatuhkan kredibiliti UMNO ciptaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan taktik bersaing dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan Presiden dalam pemilihan pucuk disifatkan hanya politik gimnastik yang bakal membunuh karier politik sendiri.
Veteran UMNO, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, ia turut dilihat survival politik terakhir yang akan 'makan tuan' selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan atas tuduhan meliwat Mac lepas.
"Apa yang Anwar lakukan sekarang membuktikan dia sanggup membuat apa sahaja termasuk mengetepikan maruah dan politik jujur isteri sendiri.
"Rakyat boleh lihat sendiri permainan Anwar ini. Saya kelaskan strategi sebegini hanya gimnastik politik sahaja. Kalau dia sanggup mempermainkan peribadi keluarga demi kuasa, kita tidak menolak kemungkinan kelakuannya yang tidak mustahil akan memperlekeh aspirasi rakyat,'' katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Rais mengulas kenyataan Anwar yang mengakui persaingannya dengan Presiden PKR kini yang juga isterinya, Dr Wan Azizah bukanlah perlawanan namun strategi untuk melawan UMNO.
Rais merupakan antara tokoh politik tanah air yang pernah keluar UMNO.
Dia pernah bersama Ahli Parlimen Gua Musang kini, Tengku Razaleigh Hamzah keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Semangat 46 pada tahun 1988.
Bagaimanapun setelah Semangat 46 dibubarkan pada Mei 1996, Rais kembali ke pangkuan UMNO.
Jelas Rais lagi, tema wayang Anwar yang dimainkan dalam pemilihan kali ini dijamin akan meranapkan perjuangannya sendiri.
"Perjuangannya sudah selesai, tiada apa lagi sebenarnya yang hendak diperjuangkan Anwar jika akhirnya mengambil keputusan bertanding dengan isteri sendiri untuk satu pangkat tertinggi parti,'' ujarnya.
Pemilihan pucuk pimpinan PKR akan diadakan pada 25 April hingga 11 Mei depan.
Pengundian akan dimulakan di negeri Sarawak, Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 25 hingga 27 April depan.
Ia diikuti negeri Sabah, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada 2 hingga 4 Mei sementara pemilihan bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan diadakan pada 9 hingga 11 Mei.
Sehingga hari ini, PKR mempunyai 500,001 ahli berdaftar dan Selangor, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang serta Kedah mencatat keahlian tertinggi.