Strategi pengurusan permintaan air, jamin bekalan air negara terpelihara

Bernama
Ogos 23, 2017 08:45 MYT
KeTTHA memberi penekanan kepada penerokaan dan penggunaan sumber air alternatif sebagai satu daripada sumber air utama bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber air sedia ada. - Gambar hiasan
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sentiasa memberi penekanan kepada strategi pengurusan permintaan air yang efisien bagi memastikan usaha sekarang mampu menjamin bekalan air pada masa depan sentiasa terpelihara.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri S.K Devamany, berkata kementeriannya telah menyusun beberapa strategi yang diyakini berkesan bagi menguruskan sumber air negara secara lestari dan mampan.
"Antara strategi tersebut adalah penyelarasan tarif air secara berterusan ke arah pencapaian kos sebenar perbekalan air mencakupi aspek pemuliharaan kawasan tadahan, kos rawatan dan agihan serta kos rawatan air kumbahan sebelum dilepaskan semula ke alam sekitar.
"Aspek penguatkuasaan dan pengawalan ke atas kes-kes kecurian dan pencemaran sumber air juga perlu ditingkatkan," katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Koh Chin Han mengenai tindakan kerajaan untuk memastikan bekalan air pada masa depan terpelihara berikutan bilangan penduduk negara kian meningkat dan sering berlaku kes gangguan bekalan air.
Devamany berkata kementerian turut memberi penekanan kepada penerokaan dan penggunaan sumber air alternatif seperti air hujan dan penggunaan air kumbahan terawat dari loji rawatan air kumbahan sebagai satu daripada sumber air utama bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber air sedia ada.
Katanya, di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau, kerajaan menyasarkan 50 peratus bahan enap cemar digunakan semula dan satu pertiga penggunaan semula efluen terawat menjelang tahun 2030.
Devamany juga menasihati orang ramai supaya sentiasa berjimat cermat dalam penggunaan air bagi keperluan harian selain mengambil langkah seperti menggunakan air hujan bagi tujuan membasuh kereta dan menyiram tanaman agar dapat menurunkan penggunaan air terawat.
-- BERNAMA
#bekalan air #Dewan Negara #KeTTHA #Koh Chin Han #Pelan Induk Teknologi Hijau #pengurusan air #S K Devamany #sumber air #tarif air
;