Strategi Pengkomputeran Awan sebahagian agenda nasional - PM Najib

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 19, 2017 19:46 MYT
Najib mempengerusikan mesyuarat Majlis ICM ke-29 di Perdana Putra hari ini. Turut hadir Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDec) Tan Sri Sidek Hassan (kanan). --fotoBERNAMA
Kerajaan akan memperkenalkan Strategi Pengkomputeran Awan Pertama (Cloud First Strategy) dalam agenda nasiona, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Katanya, strategi itu merupakan inisiatif khusus buat belia, golongan B40 dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), termasuk usahawan digital.
Jelas beliau, strategi itu akan mula diaplikasi dalam sektor kerajaan dengan menambahbaik penyampaian kepada rakyat.
"Pelaksanaan pengkomputeran awan (cloud) membolehkan kerajaan untuk mempertingkatkan penyampaian sektor awam kepada rakyat dengan lebih inovatif tanpa perbelanjaan yang tinggi, seperti membangunkan infrastruktur IT seperti pengkalan data, server dan pengstoran.
"Ini membolehkan kerajaan membantu sektor swasta dalam menggunapakai pengkomputeran awan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Digital Malaysia (ICM) kali ke-29 di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Beliau pada masa sama menggesa pemain industri seperti perkhidmatan perbankan dan kewangan, kesihatan dan telekomunikasi untuk memacu pengkomputeran awan.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan membangunkan Rangka Kerja Kepintaran Buatan (AI) Kebangsaan, yang akan diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan ini adalah peluasan kepada Rangka Kerja Analitik Big Data (BDA) Kebangsaan.
“AI akan menjadi pencetus perubahan yang dapat menambah baik lagi kehidupan rakyat Malaysia,” tambahnya.
Dalam peringkat industri yang lebih besar, kerajaan katanya, akan mewujudkan Program Pemecutan Transformasi Digital (D-TAP) untuk syarikat besar dan pertengahan yang akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 63.4 peratus.
"Bagi mempercepatkan transformasi, kita akan melantik Makmal Transformasi Digital untuk menyediakan khidmat rundingan dan membantu dalam prototaip produk dan perkhidmatan digital baharu.
"Makmal ini kemudian akan memadankan syarikat yang mengambil bahagian dan syarikat digital," katanya.
#cloud #Digital Malaysia #Keluaran Dalam Negara Kasar #Najib Razak #pengkomputeran awan #Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia #Program Pemecutan Transformasi Digital #Rangka Kerja Analitik Big Data BDA Kebangsaan #Rangka Kerja Kepintaran Buatan #sektor awam
;