Strategi normal baharu Balai Seni Visual negara pasca PKP - Tom Abang Saufi
Syafik Shukri Jalil
Mei 7, 2020 13:24 MYT
Mei 7, 2020 13:24 MYT
Strategi baharu termasuk kaedah virtual atau secara maya adalah agenda penting dalam memastikan pameran kesenian di Balai Seni Visual Negara kekal relevan sepanjang Perintah Kawalan pergerakan mahupun pasca COVID-19.
Itu merupakan misi utama Datuk Tom Abang Saufi yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara yang baharu.
Anak Sarawak yang juga merupakan pereka fesyen tempatan ketika dihubungi Astro AWANI berkata, pelantikannya ini merupakan satu kelebihan dan peluang untuk mengangkat martabat seni negara.
"Strategi secara maya ini membolehkan masyarakat umum untuk terus menghargai kepelbagaian penghasilan produk kesenian yang terdapat di galeri tersebut tanpa perlu berada di sana secara fizikal," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Akui beliau, pelantikan menggalas jawatan itu ketika PKP dilihat satu cabaran besar kepada dirinya selain cuma mengadaptasi normal baharu.
Selain itu, Tom menambah, beliau juga merancang strategi untuk para artis tempatan melibatkan diri dalam pameran seni seterusnya menjual produk seni yang dihasilkan.
“Malaysia memiliki ramai artis yang memiliki bakat luar biasa, kebolehan mereka setanding dengan artis antarabangsa.
“Namun mereka mungkin tiada pengalaman dalam menganjurkan satu pameran pada skala yang besar seperti di peringkat antarabangsa, jadi saya akan membantu menjayakan perkara tersebut,” tambahnya.
#anak Sarawak
#AWANI Sarawak
#Balai Seni Visual Negara
#COVID-19
#Datuk Tom Abang Saufi
#Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara
#perintah kawalan pergerakan
#Sarawak