STR: Kerajaan Pahang komited bantu rakyat miliki tanah

Norfarhiza Mohd Atar
Ogos 12, 2022 10:10 MYT
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan surat hak milik kepada seorang peserta di Dataran Tok Linggi, Kampung Relong di Lipis hari ini. - Foto Astro AWANI
LIPIS: Inisiatif Kerajaan Pahang menawarkan pemilikan tanah di bawah Skim Tanah Rakyat (STR) adalah bagi memastikan rakyat di negeri ini mempunyai tanah milik sendiri di masa hadapan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, para penerima STR sewajarnya memanfaatkan peluang yang diberikan bagi tujuan pembangunan ekonomi sosial.
"Rakyat perlu sedar tanah ini adalah sumber terhad dan tidak akan bertambah. Jadi kita tak boleh bagi ikut suka, kena pilih betul-betul dan hanya orang yang layak sahaja dapat tanah ini.
"Tanah ini juga jangan dijual sebab ia boleh diwarisi untuk anak cucu, juga untuk pembangunan ekonomi serta boleh dijadikan tempat berteduh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Rancangan Felcra Aur Gading, Felcra Sungai Temau dan Notis 5A Kampung Relong di Dataran Tok Linggi, Kampung Relong di sini hari ini.
Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai berkata, hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat tidak akan tercapai sekiranya peserta tanah STR menjual tanah yang diberikan kepada mereka.
"Kalau tanah ini dijual, tak ada makna Kerajaan Negeri bagi. Sebab itulah Kerajaan Negeri telah keluarkan dasar, siapa yang jual tanah ini, kita senarai hitamkan,” jelasnya.
Sempena majlis itu seramai 80 peserta Felcra Aur Gading dan 212 peserta Felcra Sungai Temau telah menerima surat hak milik.
Selain itu Kerajaan Negeri turut menyerahkan Notis Borang 5A STR bagi tujuan pertanian dusun melibatkan empat kelompok peserta iaitu di Kampung Relong Fasa 1, Mukim Telang seramai 44 peserta; STR Kampung Relong Fasa 2 (47 peserta) ; STR Kampung Relong Fasa 3 (46 peserta) dan STR Kampung Relong Fasa 3 (38 peserta).
#Skim Tanah Rakyat #Wan Rosdy Wan Ismail #Str #lipis