STPM 2023: Peratusan lulus penuh di Perak meningkat
Abd Razak Mohd Ali
Julai 23, 2024 15:45 MYT
Julai 23, 2024 15:45 MYT
IPOH: Seramai 3,012 calon peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun 2023 di Perak mencatat keputusan lulus penuh, meningkat 98.21 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson berkata, tahun lalu, seramai 3,129 calon menduduki peperiksaan itu, melibatkan 58 buah sekolah.
Menurutnya, sebanyak 35 buah sekolah mencatatkan pencapaian lulus penuh 100 peratus, berbanding 30 sekolah pada tahun 2022.
"Bilangan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil dan mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) bersamaan 4.0 bagi negeri Perak seramai 82 orang calon.
"Seramai 1,361 orang calon pula telaj mendapat PNGK antara 3.0 ke 4.0. Ini bermakna 44.4 peratus calon mendapat keputusan yang baik daripada keseluruhan calon," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, jumlah calon yang memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0 menunjukkan penurunan kepada 82 orang berbanding 108 orang tahun 2022.
Menurutnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek menjadi antara sekolah terbaik di Perak apabila mencatatkan 11 orang memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran diikuti SMK King Edward IIV (8) dan SMK St George, Taiping (5).
Tambahnya, bilangan sekolah yang mempunyai calon cemerlang juga turut menurun kepada hanya 35 buah pada tahun 2023 berbanding 37 buah pada tahun sebelumnya.
"Semoga prestasi yang dicapai dalam STPM tahun ni akan menjadi cabaran kepada semua pihak dalam merealisasikan kecemerlangan pendidikan yang berterusan," ujarya.
Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata, dari segi mata pelajaran pula, Tahfiz Al-Quran mencatatkan peratusan 100 peratus lulus sekaligus mengekalkan prestasi pencapaian sebelum ini.
Menurutnya, sebanyak 14 mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan antaranya termasuklah Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Tamil, Syariah, Sejarah, Ekonomi, Sains Sukan, Seni Visual, Matematik (M), Matematik (T), Fizik, Kimia dan Biologi.
Katanya, terdapat tujuh mata pelajaran pula mencatatkan penurunan peratusan lulus yang melibatkan Bahasa Cina, Bahasa Arab, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Usuluddin, Pengajian Perniagaan, Perakaunan serta Informasi dan Teknologi Komunikasi.
#STPM 2023
#negeri perak
#peratusan lulus penuh meningkat
#Mohamad Fauzi Mahson
#Purata Nilai Gred Keseluruhan