Stor simpan diesel bersubsidi diserbu kali kedua

Bernama
November 20, 2023 21:47 MYT
S. Jegan berkata premis itu yang terletak dalam kawasan tanah persendirian pernah diserbu Ogos lepas, namun masih berdegil dengan menjalankan kegiatan sama. - Gambar Bernama
BUKIT MERTAJAM: Sebuah stor yang dijadikan tempat menyimpan diesel bersubsidi di Tanjung Putus Permatang Pauh diserbu sekali lagi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, 10.30 pagi tadi.
Pengarahnya S. Jegan berkata premis itu yang terletak dalam kawasan tanah persendirian pernah diserbu Ogos lepas, namun masih berdegil dengan menjalankan kegiatan sama.
Beliau berkata ketika serbuan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 50an yang merupakan pemandu dan pekerja premis sedang memindahkan diesel dari tangki petak ke dalam lori tangki.
"Serbuan dibuat hasil intipan dan pemantauan sejak sebulan lalu selepas kita mendapat maklumat premis ini masih beroperasi dan menyimpan diesel bersubsidi selepas diserbu Ogos lalu.
"Pemeriksaan lanjut menemui 28,000 liter diesel disimpan dalam tangki IBC, tangki kekal dan lori tangki dianggarkan bernilai RM60,200. Turut disita sebuah lori tangki dan tiga unit motor pam dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM111,900," katanya kepada pemberita di lokasi.
Jegan berkata modus operandi digunakan sindiket adalah dengan membeli minyak di stesen minyak berhampiran menggunakan lori kecil yang diubah suai dan minyak dikumpul di stor terbabit sebelum diedarkan kepada pemain industri.
Bagaimanapun katanya siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan pemilik premis termasuk mengenal pasti sama ada diesel terbabit turut diseludup ke negara jiran.
Dua pekerja yang berada di premis ketika serbuan turut ditahan untuk siasatan lanjut, katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman penalti sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA
#pemilik premis #sabit kesalahan #hukuman penalti #boleh didenda
;