Stor sebuah butik pakaian di Suria KLCC alami kebakaran kecil

Azyyati Ahmad
Disember 16, 2015 16:57 MYT
Pihak pengurusan Suria KLCC mengesahkan kejadian berkenaan dan kebakaran kecil tersebut dapat diatasi dengan kadar segera - Foto Fail
Pusat beli-belah terkemuka di ibu negara Suria KLCC digemparkan dengan kejadian kebakaran pada awal pagi Rabu.
Menurut Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Awam Suria KLCC, Fartini Zaharuddin, kebakaran kecil itu berlaku di sebuah premis butik pakaian lelaki yang terletak di ruang legar bangunan berkenaan
"Kebakaran tersebut telah diatasi dengan kadar segera hasil keberkesanan sistem pencegahan kebakaran Suria KLCC, manakala kerugian yang dialami adalah minima.
"Pasukan bahagian siasatan kami telah berkerjasama dengan pihak bomba untuk mengenalpasti punca kebakaran ini," katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu.
Jurucakap Bilik Gerakan Bomba Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata kejadian kebakaran tersebut berlaku pada pukul 5.20 pagi.
Bertindak atas aduan yang diterima, kebakaran kecil yang dipercayai berlaku di sebuah stor simpanan pakaian berjenama itu berjaya dipadamkan pasukan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 6.08 pagi Rabu.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan dan pusat beli-belah tersebut beroperasi seperti biasa.
Terdahulu, pengguna media sosial telah memuat naik status mengenai berita kejadian tersebut dan menyatakan pusat beli-belah tersebut akan ditutup ekoran kejadian itu.
#KLCC #Suria KLCC
;