Stor proses, jual air ketum dilengkapi 10 CCTV diserbu polis

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 11, 2021 18:05 MYT
Menurut polis, ada di antara mereka yang lari ke dalam sawah untuk mengelakkan diri daripada dicekup. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Selepas menerima aduan dari penduduk kampung, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Unit Risik Pasukan Polis Marin (PPM) Kedah, bertindak menyerbu stor memproses air ketum di Tebengau pada jam 11 pagi tadi.
Polis terpaksa menggunakan taktik penyamaran dengan menaiki sebuah lori bonded dan sebaik tiba ramai daripada penagih ketum ini bertempiaran lari.
Menurut polis, ada di antara mereka yang lari ke dalam sawah untuk mengelakkan diri daripada dicekup.
Namun, usaha mereka gagal setelah seluruh kawasan itu dikepung anggota polis.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, ketika serbuan dilakukan terdapat kira-kira 30 orang pelanggan berkumpul sedang asyik minum air ketum.
Hasil siasatan mendapati air ketum ini ada yang dicampur minuman berkarbonat serta ubat batuk untuk menambah khayal.
Katanya, siasatan lanjut ke atas pemilik stor ini mengaku dia memproses lebih 5,000 bungkus air ketum sehari untuk bekalan di daerah Kota Setar termasuk Sungai Petani, Yan, Baling, Kulim dan Ipoh di Perak.
Sebungkus air ketum yang telah siap dibungkus akan dijual RM3 hingga RM5.
"Ketum ini dibawa keluar dan juga diproses untuk digunakan oleh mereka yang ketagih pada ketum. Kenapa mereka ketagih, ada ubat batuk, air berkabonat dan sebagainya dicampur yang menyebabkan orang ketagih," katanya.
Pemeriksaan lanjut mendapati stor ini turut dipasang 10 buah kamera rakaman litar tertutup (CCTV) untuk memantau pergerakan pihak berkuasa ke situ.
Pemilik stor terbabit iaitu lelaki berusia 45 tahun mengaku lebih 11 tahun menjalankan kegiatan memproses air ketum kerana mampu mengaut keuntungan lumayan.
Lelaki itu memberi alasan hanya akan berhenti melakukan kegiatan itu sekiranya akta undang-undang bagi Seksyen 30(3) Akta Racun itu dipinda kepada lebih berat.
Jelas Kamarul hasil semakan mendapati lelaki ini pernah ditahan dan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan pengedaran dan penagihan dadah.
Berikutan itu, polis merampas 5,000 bungkus air ketum, 50 kilogram (kg) daun ketum dan ubat batuk serta segala peralatan yang digunakan untuk memasak daun ketum berkenaan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
#air ketum #Tebengau #Polis Kedah #akta racun #CCVT
;