Stor minyak petrol terbakar, warga emas melecur tangan dan kaki
Mirlen Axtius
Ogos 21, 2022 18:04 MYT
Ogos 21, 2022 18:04 MYT
KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun cedera dalam kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan minyak petrol jenis separuh kekal di sini, pada Ahad.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.34 petang.
Anggota kemudian bergegas ke lokasi kejadian di Kampung Kionsom Jalan Topon Wangkod, Tamparuli.
"Kebakaran stor penyimpanan minyak petrol berjaya dipadamkan oleh pemilik stor sebelum ketibaan jentera.
"Terdapat seorang mangsa perempuan terlibat melecur di bahagian tangan dan kaki telah diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS.
"Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk tujuan rawatan lanjut." katanya.