Stor kilang papan kapur Putatan musnah dalam kebakaran

Ruzaini Zulkepli
Februari 10, 2018 07:33 MYT
Keadaan stor bangunan yang terbakar di kilang terbabit semalam. - Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli
Seramai 37 anggota bomba mengambil masa lebih satu jam untuk mengawal kebakaran sebuah stor penyimpanan kepingan kayu kapur daripada terus merebak ke kawasan lain dalam kejadian di sebuah kilang papan berhampiran Batu Tujuh, Jalan Putatan, di sini.
Kejadian kira-kira jam 6.50 petang Sabtu itu memusnahkan satu blok bangunan stor berkenaan sebelum berjaya dikawal daripada merebak ke keseluruhan kilang yang sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim berkata, anggota bersama sembilan buah jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasa dari orang awam.
Antara balai yang terlibat dalam proses pemadaman api berkenaan adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas.
"Bomba menerima panggilan pada jam 6.52 petang tadi berhubung kejadian ini sebelum sepasukan anggota daripada tiga balai berdekatan dikerahkan ke lokasi.
"Berdasarkan maklumat awal, kebakaran ini membabitkan sebuah struktur blok bangunan yang dipercayai stor penyimpanan kayu di kilang tersebut yang musnah dalam kejadian terbabit.
"Bomba terpaksa berhempas pulas untuk memadamkan api daripada terus merebak dan hasil ketangkasan anggota bertugas, kebakaran ini berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.18 malam tadi," katanya.
Tambahnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.
#API #bomba #kebakaran #kemalangan #Kota Kinabalu #Malaysia #operasi #Penampang #Putatan
;