Stor jentera berat musnah terbakar di Bagan Serai
Aida Aziz
Disember 24, 2022 08:20 MYT
Disember 24, 2022 08:20 MYT
BAGAN SERAI: Sebuah stor simpanan jentera berat musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi di Jalan Parit Jawa, di sini, hari ini.
Kebakaran itu turut membabitkan sebuah lori, traktor dan enam buah motosikal, masing-masing terbakar sebanyak 90 peratus, 70 peratus dan 98 peratus.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.21 pagi tadi.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai dengan dibantu BBP Kuala Kurau bergegas ke lokasi kejadian.
"Anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah stor simpanan jentera berat kelas B berkeluasan 30x30 kaki persegi terbakar 40 peratus.
"Turut terbakar sebuah lori (90 peratus), traktor (70 peratus) dan enam motosikal (98 peratus).
"Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, anggota kemudiannya membuat kerja memadam kebakaran menggunakan satu aliran 400 kaki pam dengan sumber air terbuka sehingga selesai.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rofae Samsuiman itu tamat pada jam 2.55 pagi.