Stor haram simpan diesel diserbu, dua lelaki tempatan ditahan

Abd Razak Mohd Ali
September 24, 2023 11:30 MYT
KPDN menyita dua buah kenderaan lori, dua unit tangki minyak diesel, 3000 liter cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran nilai sitaan keseluruhan adalah sebanyak RM76,750. - Gambar/ KPDN
MANJUNG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan ke sebuah stor haram yang menyimpan minyak diesel di Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini, malam tadi.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak kira-kira jam 8.30 malam.
Menurutnya, kejayaan operasi itu adalah hasil risikan selama dua minggu berhubung aktiviti pembelian minyak diesel luar biasa oleh sebuah lori yang disyaki telah mengubah suai tangki asal kepada kapasiti lebih besar.
“Hasil penjejakan ke atas lori tersebut juga telah berjaya menemukan sebuah stor simpanan diesel dengan anggaran kapasiti sehingga 5,000 liter dan sebuah lori penggerak utama.
"Selain itu, sebuah lori kargo rigid berkapasiti satu tan dengan sebuah tangki ubah suai di bahagian belakang kenderaan ini yang beranggaran 3,000 liter dan beberapa peralatan yang lain yang digunakan untuk mengepam minyak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, dua pemandu lelaki tempatan berumur 62 dan 44 tahun yang ditemui di tempat kejadian telah ditahan untuk siasatan kerana gagal mengemukakan sebarang lesen CSA (Control Supply Act) bagi borong atau runcit atau permit barang kawalan berjadual diesel.
Di samping itu, ujarnya, pihaknya telah menyita dua lori, dua unit tangki minyak diesel, 3000 liter cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran nilai sitaan keseluruhan adalah sebanyak RM76,750.
“Modus operandi sindiket ini adalah dipercayai mengunakan kenderaan lori untuk membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak sekitar Seri Manjung dan kemudiannya disimpan sementara di stor simpanan haram ini sebelum dijual semula kepada pasaran gelap dengan harga komersil atau industri.
“Pihak tidak bertanggungjawab ini telah mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana diesel yang dibeli di stesen- stesen minyak ini adalah bersubsidi pada harga RM2.15 per liter,” tambahnya.
Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
#stor haram #diesel bersubsidi #kpdn #Perak
;