Stor farmasi Hospital Papar terbakar: 51 pesakit dipindahkan

Nina Rozman
November 12, 2024 08:10 MYT
Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata, khemah sementara didirikan bagi menempatkan pesakit dan kakitangan Hospital Papar susulan kebakaran di stor farmasi hospital itu dalam kejadian petang semalam. - Foto Pejabat Armizan
KUALA LUMPUR: Setakat ini, seramai 51 orang pesakit dalam di Hospital Papar telah dipindahkan sementara ke beberapa lokasi berbeza di hospital itu susulan kejadian stor farmasi terbakar lewat petang semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, pada masa sama, terdapat lapan pesakit di Jabatan Kecemasan yang terkesan akibat insiden tersebut.
"Daripada pesakit dalam, 19 pesakit lelaki ditempatkan di Dewan Bedah, 14 pesakit wanita ditempatkan di Wad Materniti, 14 pesakit kanak-kanak kekal di Wad Kanak-kanak sementara empat pesakit materniti, termasuk dua pesakit pos natal, kekal di Wad Materniti," katanya menerusi hantaran di media sosial pagi ini.
Dr Dzulkefly berkata, pesakit di Jabatan Kecemasan pula, seorang di zon merah telah dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan tiga di zon kuning sedang menunggu untuk dipindahkan ke hospital sama.
Empat lagi pesakit di zon kuning masih berada di khemah sementara yang didirikan di luar kawasan hospital.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.

Salam Madani Maklumat terkini keadaan pesakit2/mangsa2 (Kebakaran Hospital Papar, Sabah). Pesakit di Jabatan Kecemasan seramai 8 orang. - 1 pesakit zon merah - telah di transfer ke HQE - 3 pesakit zon kuning sedang menunggu untuk dipindahkan ke HQE - 4 pesakit di zon https://t.co/ucFCGMpm4n

— Dzulkefly Ahmad (@DrDzul) November 11, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Semalam, sebuah bangunan menempatkan stor farmasi Hospital Papar hangus terbakar, manakala bilik makmal kajian terkena bahang api dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam.
Dr Dzulkefly berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa dan nilai kerugian sedang dianalisis.
Beliau memetik Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk lndera Dr Nor Azimi Yunus.
Katanya, pihak Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi tersebut dan memberikan maklumat lanjut kepada orang ramai dari masa ke masa.
Kebakaran Hospital Papar, tiada kemalangan jiwa dilaporkan
#Dzulkefly Ahmad #kebakaran #Hospital Papar terbakar #pesakit dipindahkan
;