Stor farmasi Hospital Papar terbakar
Bernama
November 11, 2024 23:29 MYT
November 11, 2024 23:29 MYT
KOTA KINABALU: Sebuah bangunan menempatkan stor farmasi Hospital Papar hangus terbakar, manakala bilik makmal kajian hanya terkena bahangan api dalam kejadian kira-kira 7 malam ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berhubung kejadian itu.
"Lokasi kejadian terletak sejauh empat kilometer dan jentera JBPM tiba kira-kira 7.08 malam bersama 14 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Papar dan dibantu anggota BBP Kimanis," menurut kenyataan itu.
Operasi pemadaman masih dijalankan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Setakat ini kebakaran itu tidak melibatkan sebarang mangsa.
-- BERNAMA