Stor dewan bedah Hospital Raja Permaisuri Bainun terbakar

Abd Razak Mohd Ali
April 10, 2021 08:09 MYT
Keadaan stor di dewan bedah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang terbakar malam tadi. -JBPM
IPOH: Sebuah bilik stor di dewan bedah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, dilaporkan terbakar malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.16 malam.
Katanya, kejadian melibatkan kebakaran perkakas di dalam sebuah bilik stor berukuran 15x18 kaki di dalam dewan bedah di tingkat 3 hospital berkenaan.
“Pemadaman berjaya dilaksanakan oleh petugas hospital sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian telah diarah melaksanakan kerja-kerja pemantauan bagi memastikan tiada kebakaran lain berlaku.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ridzuan Chik tamat pada 11.30 malam.
#bilik stor #dewan bedah #Hospital Raja Permaisuri Bainun #JBPM #kebakaran #HRPB #Ridzuan Chik
;