Stor barangan kuil, tempat tinggal sami musnah terbakar

Aida Aziz
Disember 21, 2022 08:50 MYT
Bangunan kelas B yang berkeluasan 20x60 itu musnah terbakar 95 peratus. -BBP Ayer Tawar
MANJUNG: Sebuah bangunan yang menempatkan stor barangan kuil dan bilik sami musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi di Taman Pelangi, Ayer Tawar, di sini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, bangunan kelas B yang berkeluasan 20x60 itu musnah terbakar 95 peratus.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.31 pagi dan seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dengan dibantu BBP Sitiawan digerakkan ke lokasi.
"Kebakaran melibatkan stor sebuah bangunan kelas B yang menempatkan stor barangan kuil dan bilik tempat tinggal sami terbakar 95 peratus, bagaimanapun kejadian itu tidak membabitkan sebarang mangsa atau kehilangan nyawa.
"Anggota bomba membuat pemadaman dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dua pancutan dan dibantu anggota dari BBP Sitiawan sehingga kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Operasi yang diketuai komander operasi, Khairul Basri Sulaiman itu tamat pada jam 4.21 pagi.
#stor barangan kuil #bilik sami terbakar #Taman Pelangi #BBP Ayer Tawar
;