Stor arak seludup bernilai RM250,350 tumpas
Radhi Muslim
Mac 11, 2020 09:21 MYT
Mac 11, 2020 09:21 MYT
Sebuah stor penyimpanan dan penjualan arak seludup diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu kejadian di Jalan Labuk, Batu Sembilan, pada Selasa.
Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, seorang suspek lelaki tempatan, 36 tahun, yang merupakan pemilik stor, berjaya diberkas.
Sementara itu, sebanyak 4,200 tin dan 164 botol minuman keras seludup turut berjaya dirampas.
Pegawai Memerintah PGA Batalion 20 Beluran, ACP Mohd Nasaruddin M Masir berkata, hasil risikan, lokasi itu berjaya dikesan susulan pembabitan dalam kegiatan penyeludupan.
Menurutnya, sepasukan anggota kemudiannya dihantar membuat serbuan.
"Sebaik tiba, seorang lelaki disyaki pemilik stor ditemui di lokasi itu. Pemeriksaan dijalankan berjaya menemui pelbagai jenis minuman keras dalam stor terbabit.
"Suspek turut mengaku menjual minuman keras seludup.
"Minuman keras dan sebuah kenderaan jenis van dianggarkan bernilai RM250,350 kemudiannya dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek ditangkap lalu dihantar ke Balai Polis Sandakan.
Siasatan diteruskan mengikut Akta Kastam 1967.
#arak
#kastam
#minuman keras
#Mohd Nasaruddin M Masir
#PGA
#polis
#rampasan
#Sandakan
#seludup
#serbuan
#siasatan
#stor
#suspek
#van