Stoking tertera kalimah Allah: PM mahu tindakan segera dilaksana ikut undang-undang

Bernama
Mac 20, 2024 22:06 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan segera diambil mengikut undang-undang ditetapkan berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka baru-baru ini. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan segera diambil mengikut undang-undang ditetapkan berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka baru-baru ini.
Bercakap kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan semua pihak agar tidak sesekali melakukan penghinaan terhadap agama Islam.
"Pandangan saya jelas, ada laporan keterlanjuran mesti ada tindakan segera, keputusan ikut jalur hukum dan maju terus, kenapa kita harus terperangkap dengan isu ini berpanjangan?
"Ada laporan ambil tindakan, jangan ada penghinaan terhadap agama ... apa lagi Islam, jadi jangan kita terus-menerus dengan perbincangan ini seolah-olah ia satu malapetaka besar di dalam negara," katanya dan menambah sekiranya tindakan segera telah dilaksanakan, semua pihak perlu berlapang dada.
Baru-baru ini, video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah Allah tular menerusi media sosial yang didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka di Petaling Jaya, Selangor sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.
Mengenai perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan Kerajaan Perpaduan mengenai isu itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata mana-mana pemimpin boleh memberikan pandangan, namun diingatkan agar tidak terlanjur menghukum dan mengikut pemikiran sempit.
"Dalam kerangka badan politik yang bebas dan demokratik, tidak boleh ikut sistem wala' (kerana) dalam parti yang wala' yang kekang pemikiran bebas, ia tidak izinkan ... masalah ada, tindakan diambil dan maju terus," katanya.
Konsep wala' yang diamalkan dalam sesebuah organisasi politik bermaksud kesetiaan.
Anwar menegaskan apa jua bentuk hukuman yang diberikan hendaklah dalam bentuk yang tidak melampau.
"Ada orang lakukan kesalahan seperti kita juga lakukan kesalahan, kadang-kadang kecuaian. Jadi, jangan ikut seolah-olah mendera orang lebih daripada yang sepatutnya," katanya.
-- BERNAMA
#stoking #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #tindakan segera #kk mart
;