Stoking kalimah Allah: Wai Loong dituduh semula, mengaku tidak salah

Sinar Harian
April 18, 2024 19:12 MYT
Wai Loong memakai baju lokap merah dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, bagi menghadapi satu pertuduhan membuat kenyataan jelik berhubung isu stoking kalimah Allah, bulan lalu. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Lelaki yang membuat kenyataan jelik berhubung isu stoking dengan kalimah Allah, dituduh sekali lagi, atas satu pertuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Juruteknik aplikasi sosial, Chiok Wai Loong, 35, yang sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan tersebut, berjaya mengetepikan pengakuan menerusi semakan di Mahkamah Tinggi atas alasan ia bukan akuan jelas.
Susulan itu, Wai Loong diarahkan dituduh semula dan mahkamah merekod pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik, melalui perkhidmatan aplikasi Facebook, menggunakan nama profil ‘Chiok Wai Loong’ pada 18 Mac.
Ia dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang telah dilihat pada jam 3 pagi, hari sama di Brickfields di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah subseksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak membuat sebarang hantaran sehingga kes itu selesai.
Bagaimanapun, peguam, Latheefa Koya yang mewakili Wai Loong berkata, anak guamnya telah bankrap dan tidak mempunyai pekerjaan selepas sabitan dibuat bulan lalu.
"Dia tidak mampu untuk menyediakan wang sekiranya kadar ikat jamin ditetapkan terlalu tinggi," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menolak cadangan syarat tambahan yang dibuat pihak pendakwaan, serta menetapkan 23 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap seorang juruteknik aplikasi sosial berhubung komen jelik isu stoking dengan kalimah ALLAH, dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Ia selepas Hakim, Datuk Ahmad Bache membenarkan semakan difailkan tertuduh, Wai Loong supaya pengakuan bersalah dibuatnya atas pertuduhan berkenaan, bukan akuan jelas dan tanpa bersyarat.
Sebelum ini, media melaporkan tertuduh tampil memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menambahkan ketegangan dalam isu penjualan stoking bertulis kalimah ALLAH di sebuah kedai serbaneka.
Pada 22 Mac lalu, Hakim, Suzana Hussin menjatuhi Wai Loong hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap juruteknik itu selepas mengaku bersalah, atas tuduhan berkenaan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#stoking kalimah Allah #Chiok Wai Loong #dituduh sekali lagi #mengaku tidak bersalah
;