Stoking kalimah Allah: Pengasas KK Supermart, isteri bebas, 2 syarikat didenda RM60,000

Sinar Harian
Julai 15, 2024 06:57 MYT
KK Chai dan isterinya hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin, bagi sebutan kes melukakan perasaan orang Islam dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, Mac lalu.
SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, melepaskan dan membebaskan (DNA) Pengasas Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart), Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui, masing-masing atas satu pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, pada Mac lalu.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Sesyen membebaskan Pengasas KK Supermart, Datuk Seri Dr KK Chai, isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui, dan tiga pengarah syarikat pembekal, daripada pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
  • KK Mart dan syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd, didenda masing-masing RM60,000, manakala pengurus besar KK Mart dan pengarah syarikat pembekal mengaku bersalah dan diarahkan membayar denda tersebut dalam tempoh tiga hari.
  • Mahkamah menasihati syarikat terbabit untuk lebih peka terhadap isu sensitif, sementara kedua-dua syarikat dan lima individu yang terlibat telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan terhadap mereka.

Turut mendapat perintah DNA ialah tiga pengarah syarikat pembekal stoking, Xin Jian Chang Sdn Bhd iaitu Soh Chin Huat, 61; Goh Li Huay, 62, dan Soh Hui San, 36.
Dalam prosiding sama, syarikat KK Mart dan Xin Jian Chang didenda masing-masing RM60,000 atas pertuduhan bersubahat berhubung kes sama.
Pengurus besar KK Mart, Tee Kok Hiem, 61, dan pengarah syarikat pembekal terbabit, Hui San dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.
Mahkamah turut memerintahkan denda tersebut dibayar dalam tempoh tiga hari.
Semasa prosiding, Muhamad Anas menasihati kedua-dua syarikat terbabit agar, supaya lebih peka dengan isu yang boleh mengundang sensitiviti memandangkan negara ini hidup dalam pelbagai kaum dan agama.
Menurutnya, meskipun ini kesalahan pertama bagi semua tertuduh, namun ia tidak boleh dikatakan sebagai satu kesalahan yang remeh.
“Saya bukan mahu berdakwah, tetapi bagi mana-mana agama sekali pun, jika menyentuh isu keagamaan akan menimbulkan perasaan tidak selesa.
“Saya berharap KK Mart dan Xin Jian Chang ambil iktibar dan bertanggungjawab dalam memperketatkan kawalan kualiti masing-masing kerana barang kamu akan dijual kepada orang ramai.
“Selepas ini, saya harap kejadian sebegini tidak akan berulang,” katanya.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud berkata, pendakwaan tidak bercadang meneruskan kes terhadap kelima-lima pengarah terbabit.
“Kami tarik balik pertuduhan dan mohon DNAA (melepaskan tanpa membebaskan),” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Rajpal Singh yang mewakili KK Chai atau nama sebenarnya Chai Kee Kan dan isteri, memohon mahkamah memberi perintah DNA kepada kedua-dua anak guamnya.
Perkara sama dibuat peguam, Fahri Azzat yang mewakili syarikat pembekal dan tiga pengarahnya.
Untuk rekod, dua syarikat dan lima individu ini telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), supaya semua pertuduhan terhadap mereka ditarik balik, pada 17 Mei.
Sementara itu, ketika sidang akhbar di luar mahkamah, Rajpal Singh berkata, keputusan DNA diperoleh, selepas representasi mereka telah diterima oleh AGC.
Pada 26 Mac lepas, Kee Kan dan Siew Mui yang juga Pengarah KK Super Mart & Superstore mengaku tidak bersalah atas masing-masing satu pertuduhan, sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah di rak pameran jualan, yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi 13 Mac lepas, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kee Kan yang juga mewakili syarikatnya KK Supermart & Superstore turut didakwa atas pertuduhan sama.
Sementara itu, syarikat pembekal yang mengedar barangan kepada KK Super Mart iaitu Xin Jian Chang Sdn Bhd bersama tiga pengarahnya, didakwa atas masing-masing satu pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Pembekal itu ialah tiga beranak, suami, Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36;Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara m
#stoking kalimah Allah #pengasas kumpulan KK Supermart #lepas dan bebas #keputusan mahkamah