Stoking dalam takungan air bukan milik Zayn Rayyan - Polis
Sinar Harian
Disember 16, 2023 17:47 MYT
Disember 16, 2023 17:47 MYT
PETALING JAYA: Sehelai stoking yang ditemui dalam takungan air di kawasan anak sungai berhampiran lokasi mayat kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin disahkan adalah bukan miliknya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu disahkan hasil analisa yang dijalankan di makmal yang mendapati keputusannya negatif dan bukan milik mangsa.
Menurutnya, setakat ini tiada perkembangan baharu, namun polis masih meneruskan usaha pencarian sebarang bukti baharu di tempat kejadian.
"Kita juga sudah merakam keterangan seramai 172 orang termasuk ibu bapa, saksi, jiran dan penduduk di apartment terbabit," katanya pada Sabtu.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan polis menemui sehelai stoking pada 13 Disember lalu dalam takungan air di kawasan anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan.
Polis turut mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi membantu menyedut keluar takungan air di lokasi penemuan mayat mangsa bagi melihat sama ada wujud bukti baharu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain memaklumkan Zayn Rayyan Abdul Matiin berkemungkinan meninggal dunia di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di tempat kejadian.
Mangsa juga kemungkinan sudah 48 jam meninggal dunia dengan kesan kecederaan di leher.
Zayn Rayyan yang dilapor hilang pada 5 Disember lalu ditemui meninggal dunia pada 6 Disember.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian