Stok simpanan air Empangan Muda kini paras bahaya - JPS
Sinar Harian
April 3, 2024 13:10 MYT
April 3, 2024 13:10 MYT
SHAH ALAM: Empangan Muda di Sik, Kedah merekodkan status simpanan sumber air tahap bahaya setakat kemas kini pada 1 April lalu susulan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi hantaran di Facebook pada Rabu memaklumkan, empangan tersebut mencatatkan paras air 39 peratus dengan trend semasa menurun.
Selain itu, berdasarkan Status Storan Empangan Bagi Pemantauan Kemarau yang dibuat jabatan berkenaan turut mendapati Empangan Machap, Johor kini berada pada tahap waspada.
Bacaan paras air di empangan tersebut ketika ini berada pada tahap 56 peratus dan trend semasa juga turut menurun.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Khamis lalu memaklumkan, empat empangan air di Johor, Pulau Pinang dan Kedah menunjukkan penurunan paras simpanan sumber air mentah pada paras kritikal setakat semalam susulan cuaca panas.
Lokasi berkenaan ialah Empangan Sembrong Barat di Johor yang kini merekodkan paras 31.65 peratus; Empangan Air Itam di Pulau Pinang (35 peratus) dan Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) serta Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini menyatakan fasa peralihan monsun dijangka bermula esok dan berterusan sehingga Mei yang menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24.
Permulaan fasa peralihan monsun, keadaan cuaca panas dan kering yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April. - Sinar Harian