Stok penimbal beras negara ditingkatkan kepada 290,000 tan metrik menjelang 2023
Bernama
September 4, 2021 14:53 MYT
September 4, 2021 14:53 MYT
KOTA KINABALU: Jumlah simpanan stok penimbal beras negara akan ditingkatkan secara berperingkat kepada 290,000 tan metrik menjelang 2023, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.
Ahli Parlimen Beluran itu berkata, kos meningkatkan stok penimbal beras negara itu berjumlah RM250 juta akan ditanggung sepenuhnya Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebagaimana dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi dengan kerajaan.
"Menjelang akhir tahun ini juga, Bernas akan meningkatkan jumlah pegangan stok penimbal beras negara daripada 150,000 tan metrik kepada 200,000 tan metrik," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di gudang simpanan stok penimbal beras negara di Telipok, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah serta Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Azman Mahmood.
Ronald berkata Perjanjian Konsesi yang ditandatangani Bernas pada Disember 2020 telah menetapkan 10 obligasi sosial kepada syarikat itu yang akan dipantau serta dinilai setiap tahun oleh kerajaan.
Beliau berkata satu daripada obligasi sosial utama adalah untuk memelihara, menyelenggara dan mengurus stok penimbal beras negara dengan mematuhi semua garis panduan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.
"Prestasi pengurusan dan penyimpanan stok beras negara yang dilaksanakan oleh Bernas setakat ini telah memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) obligasi sosial yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.
Mengulas mengenai pemeriksaan itu, Ronald berkata ia selaras dengan terma Perjanjian Konsesi berkenaan bagi memastikan stok beras negara sentiasa mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik sepanjang masa di semua 31 gudang stok penimbal beras di seluruh negara di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia adalah sebanyak 2.5 juta tan metrik manakala pengeluaran beras negara adalah sekitar 70 peratus daripada keperluan tersebut, justeru segala usaha perlu digerakkan bagi memastikan bekalan beras mencukupi antaranya dengan mengimport beras.
"Negara masih mengimport kira-kira 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras setiap tahun bagi menampung kekurangan pengeluaran beras dalam negara dan memenuhi permintaan terhadap beras-beras premium dan istimewa," katanya.
Ronald berkata pengoperasian industri padi dan beras tempatan tidak terjejas walaupun negara berdepan dengan pandemik COVID-19 kerana kerajaan meletakkan pertanian termasuk penanaman padi sebagai perkhidmatan perlu bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.
-- BERNAMA