Stok bekalan ikan negara untuk musim tengkujuh mencukupi
Bernama
September 25, 2024 04:15 MYT
September 25, 2024 04:15 MYT
KUALA BESUT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meminta peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga hasil laut terutamanya ikan ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) yang djangka bermula November ini hingga Mac tahun depan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ini kerana pihaknya telah melakukan persiapan awal menyimpan stok bekalan penimbal ikan untuk keperluan pasaran.
"Kami memberi jaminan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang tempoh itu kerana kita ada simpanan, ikan yang diimport oleh peniaga, malahan di Pantai Barat masih meneruskan aktiviti menangkap ikan.
"Kita ada stok bekalan ikan keseluruhan 1,500 tan metrik ikan sejuk beku simpanan di seluruh negara, jadi tidak ada alasan peniaga naikkan harga ikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kilang Air Batu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut di Kompleks LKIM, dekat sini, pada Rabu.
Menyentuh mengenai pembinaan kilang air batu yang kedua milik PNK Besut, Muhammad Faiz berkata, kilang bernilai RM3 juta itu akan dibina dalam masa terdekat dan dijangka siap pada akhir tahun depan.
Beliau berkata, pembinaan kilang itu adalah bagi menampung permintaan air batu yang tinggi untuk sektor perikanan di daerah Besut.
Kilang pertama milik PNK Besut yang sedia ada di dalam kompleks LKIM sekarang ini hanya mampu mengeluarkan 390 blok ais sehari, tetapi dengan adanya kilang baharu nanti, pengeluarannya akan meningkat kepada 650 hingga 764 blok sehari bagi keperluan bot nelayan dan peniaga ikan, tambah beliau.
"Kilang yang terbaru ini akan menggunakan teknologi terkini iaitu Sistem Blok Ais Penyejukan Secara Langsung yang bukan sahaja dapat menghasilkan air batu dalam tempoh lebih singkat, malah lebih selamat kerana tidak menggunakan bahan kimia.
"Pembinaan kilang air batu ini secara tidak langsung akan meningkatkan pendaratan ikan khususnya di Kuala Besut kerana sebelum ini ada rungutan daripada bot nelayan bahawa tidak cukup air batu untuk mendaratkan ikan," katanya.
Muhammad Faiz seterusnya menambah, kos pembinaan kilang itu adalah dalam bentuk pinjaman yang diberikan LKIM kepada PNK Besut dan pihaknya yakin ia dapat dijelaskan mengikut jadual berdasarkan rekod yang lepas. - BERNAMA