Stok bekalan beras semasa negara melebihi keperluan - Timbalan Menteri

Umavathi Ramayah
Ogos 6, 2020 14:38 MYT
Stok beras mencukupi dan berada di tahap konsisten meskipun ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19. - Gambar hiasan
Kedudukan stok beras semasa negara adalah melebihi keperluan bulanan yang sepatutnya, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Beliau berkata, bekalan itu adalah mencukupi dan berada di tahap konsisten meskipun ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19.
Katanya, ia dibuktikan apabila purata stok sumber makanan utama itu pada ketika ini adalah antara 400,000 dan 500,000 tan setiap bulan berbanding keperluan bulanan sebanyak 200,000 tan.
Beliau memberitahu, tempoh pandemik merupakan pengajaran supaya negara membuat persediaan terawal menghadapi sebarang kemungkinan.
"Kita bersyukur semasa wabak ini berlaku, bekalan makanan negara berada di tahap yang stabil dan terkawal.
"Bekalan daging, ayam, telur ayam dan susu segar, kebanyakan yang dihasilkan secara tempatan dan import adalah mencukupi," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) mengenai mekanisme dan langkah konstruktif yang dirangka bagi meningkatkan sekuriti makanan negara agar sentiasa bersedia hadapi krisis.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, antara langkah konstruktif yang dirangka kementerian bagi meningkatkan sekuriti makanan dalam negara adalah dengan merancakkan aktiviti pengeluaran makanan dan meningkatkan keberkesanan pengeluaran dengan menambahbaik infrastruktur.
Kerajaan juga, kata beliau, turut meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan logistik serta memperluas akses pasaran.
#Ayam #bekalan daging #beras #COVID-19 #Dewan Rakyat #pandemik #telur ayam
;