STING lakukan rampasan bernilai RM4 juta dalam dua serbuan
Astro Awani
Februari 19, 2014 20:20 MYT
Februari 19, 2014 20:20 MYT
Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik, STING sekali lagi berjaya mematahkan sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah di George Town melibatkan nilai rampasan RM4 juta.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, serbuan dilakukan di beberapa kawasan di Pulau Pinang termasuk di sebuah restoran dan sebuah kondominum pada 16 dan 17 Februari.
Turut disita dalam serbuan itu ialah empat buah kenderan serta beberapa peralatan memproses dadah.
Tambahnya, empat suspek masing-masing dua lelaki dan dua perempuan termasuk seorang daripadanya warga China ditahan.
Bagaimanapun pihaknya yakin beberapa ahli sindiket berkenaan masih bebas dan sedang diburu.
Kes disiasat dibawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika di sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Mengulas mengenai insiden vandalisme ke atas beberapa rumah ibadat di negeri itu, Bakri meminta orang ramai tidak memainkan sentimen agama yang keterlaluan kerana dibimbangi akan menggugat keharmonian kaum dan agama di negara ini.
Menurutnya, kesemua insiden yang dilaporkan di pulau pinang masih dalam siasatan.