STFC syor tambah jumlah barisan hadapan tangani COVID-19 di Selangor

Madiha Abdullah
Januari 30, 2021 14:30 MYT
Dr Dzulkefly cadang jumlah barisan hadapan ditambah bagi mempercepatkan semua proses dari saringan hingga ke pemantauan pesakit. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peningkatan kes positif COVID-19 di Selangor sejak kebelakangan ini memerlukan perhatian dengan segera.
Pengerusi Selangor Task Force COVID-19 (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, fokus perlu diberikan kepada kadar positif dalam ujian saringan yang perlu dipergiatkan dalam komuniti.
"Peningkatan ini adalah natijah daripada kes-kes tertangguh sejak 10 hari yang lalu.
"Lebih penting untuk kita perhatikan adalah kadar positif dalam ujian saringan yang perlu dipergiatkan dalam komuniti dimana kadar positif kurang dari 5%, adalah ukuran yang ditetapkan oleh WHO.
"Dengan kata lain, kalau kita lakukan 1,000 ujian saringan, keputusan positif umpama 200 kes positif adalah 20% kadar positif," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Hal ini, kata Dr Dzulkefly, bermaksud virus sedang 'berkeliaran' dalam satu-satu komuniti atau tempat perebakan, dan perlu ditangani dengan kadar segera.
Selain menambah ujian RTK-Ag yang lebih meluas dan meningkatkan keupayaan teknologi, beliau mencadangkan agar kakitangan barisan hadapan segera ditambah bagi mempercepatkan semua proses dari peringkat saringan hingga ke pemantauan pesakit dalam kuarantin.
Dalam pada itu, STFC juga mencadangkan pelaksanaan program 'Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS) atau 'Mencegah Tercetus Perebakan di Tapak-Tapak Penularan'.
"POIS merupakan kerjasama pintar 3-Penjuru (Tripartite Partnership) secara sukarela (voluntary), antara kerajaan negeri, majikan dan NGO, dengan tumpuan utama diberikan termasuk menjalankan saringan berkala di semua kilang dan tempat kerja, termasuk tapak-tapak binaan.
"Terkini POIS akan jalinkan kerjasama antara JKNS, Selgate Corporation Sdn Bhd, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) bersama kegiatan NGO Perubatan-Kesihatan seperti IMARET," tambahnya.
#Dzulkefly Ahmad #COVID-19 #Selangor #ujian saringan #kes positif #barisan hadapan #Selangor Task Force COVID-19
;