Stethee, stetoskop teknologi AI beri sinar baharu penduduk luar bandar

Zaim Ibrahim
Januari 29, 2018 15:23 MYT
Kemunculan teknologi baharu iaitu stetoskop versi kecerdasan buatan dikenali sebagi Stethee bakal membawa pelbagai manfaat. - Astro AWANI.
Stetoskop teknologi AI yang pertama kali dicipta di dunia bakal mengubah lanskap sistem perkhidmatan kesihatan dan perubatan di Malaysia.
Sistem ini mampu memberikan kemudahan kepada masyarakat luar bandar terutama sekali kawasan yang jauh daripada pusat perubatan dan kekurangan tenaga pakar.
Walaupun terdapat pegawai perubatan yang memeriksa tahap kesihatan masyarakat Orang Asli secara harian atau mingguan, perkara ini hanya menyelesaikan masalah secara jangka pendek.
Kini, masalah tersebut bakal diatasi dengan kemunculan teknologi baharu iaitu stetoskop versi artificial inteligence atau kecerdasan buatan dikenali sebagi Stethee.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Dr.Shazif Othman, peranti berteknologi tinggi ini mampu memberi keputusan diagnosis yang tepat.
Kaedah rawatan
Tambah beliau, hal ini mampu membantu para doktor memberikan kaedah rawatan yang paling sesuai kepada para pesakit.
“Bagi kawasan pedalaman atau hospital yang tiada pakar, kita mampu memudahkan perkongsian hasil diagnosis dengan pakar-pakar di hospital besar dengan cara lebih cepat dan efisien,” jelas Dr.Shazif yang juga teruja menggunakan alat tersebut.
Kebiasaannya, proses diagnosis memakan masa yang lama tetapi dengan kewujudan Stethee, para doktor dapat berhubung terus dengan pakar-pakar perubatan.
“Sebagai contoh, diagnosis yang dikongsi dengan pakar kardiologi atau pakar respiratori, mereka boleh memberikan maklum balas mengenai rawatan yang terbaik kepada pesakit,” kata beliau.
Beliau berkata, Stethee bukan sahaja menambah baik sistem kesihatan negara malah menjaminkan kualiti perkhidmatan kepada pesakit.
Proses diagnosis
Menurut beliau, penggunaan stetoskop bergantung kepada kemahiran pengamal perubatan untuk mendiagnosis pesakit secara klinikal tanpa bergantung kaedah lain yang mahal.
“Oleh itu, Stethee memudahkan proses diagnosis untuk mengesan penyakit, mengurangkan kesan sampingan yang dihadapi serta memberi rawatan awal kepada para pesakit,” tambahnya lagi.
Khamis lalu, Ketua Pengarah Kementerian Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan satu kenyataan bahawa, stetoskop dengan teknologi kecerdasan buatan dicipta hasil tenaga rakyat Malaysia bakal digunakan di negara dan dipasarkan secara global.
Teknologi yang inovatif ini dicipta dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kolaborasi Kajian Kejuteraan, Sains, dan Teknologi (CREST), pengasas Stethee, M3DICINE serta Telemedicine Development Group (TDG).
Stethee bakal diperluaskan ke seluruh negara bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan di kawasan jauh dan luar bandar untuk mengesan penyakit jantung dan paru-paru dengan lebih tepat dan mudah.
#artificial intelligent #Dr Shazif Othman #kecerdasan buatan #Kementerian Kesihatan #PAPISMA #Stetoskop #teknologi
;