Stesen penyimpan gas asli di Kamunting alami kebocoran - Bomba
Bernama
Februari 23, 2016 12:04 MYT
Februari 23, 2016 12:04 MYT
Sebuah stesen penyimpanan gas asli jenis mercaptancs di Kampung Setia dekat Kamunting dikesan mengalami kebocoran malam tadi, kata Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahaya Madis.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengadu terhidu bau gas yang amat kuat di kawasan sekitar kira-kira 6.14 petang sebelum satu Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih Ipoh bergegas ke tempat kejadian.
Katanya empat anggota pasukan Hazmat telah memasuki kawasan substesen itu pada 10.20 malam untuk membuat pemeriksaan mengenai kebocoran gas berkenaan dengan menggunakan alat pengesan gas.
"Anggota Hazmat telah membuat pemeriksaan dengan memastikan bahan kimia tersebut dineutral dengan udara dari luar sehingga selamat dari sebarang kebocoran lain," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Yahaya berkata operasi itu tamat pada 11.44 malam setelah Gas Malaysia Bhd menutup injap dari substesen gas berkenaan yang merupakan pembekal gas asli untuk kegunaan industri di kawasan Perusahaan Kamunting.