Stesen minyak di enam daerah di Pahang dibenar beroperasi seperti biasa
Bernama
Mac 20, 2020 06:38 MYT
Mac 20, 2020 06:38 MYT
Stesen minyak di enam daerah di Pahang, yang diarahkan menghentikan operasi perniagaan bermula 7 petang hingga 7 pagi sebelum ini, kini dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak bagaimanapun berkata, hanya perkhidmatan isian minyak sahaja yang dibenarkan, manakala kedai serbaneka di stesen minyak tidak dibenarkan beroperasi mulai 10 malam hingga 6 pagi.
Katanya, ketetapan itu berkuatkuasa mulai hari ini (21 Mac) sehingga 31 Mac ini atau sehingga Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak COVID-19 yang diumumkan kerajaan, ditarik semula.
"Ini adalah bagi kemudahan orang ramai untuk mengisi minyak kenderaan. Bagaimanapun arahan penutupan bagi premis perniagaan lain seperti yang dinyatakan sebelum ini, adalah masih sama," katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.
Pada Khamis, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mengumumkan semua premis perniagaan di Kuantan, Pekan, Temerloh, Jerantut dan Bentong, perlu menghentikan operasi mereka bermula 7 petang hingga 7 pagi berkuatkuasa esok.
Arahan itu telah berkuatkuasa di Cameron Highlands sejak Rabu.
-- BERNAMA
#COVID-19
#henti operasi
#Jerantut
#Kedai Serbaneka
#kerajaan
#minyak
#Pahang
#perintah kawalan pergerakan
#Sallehuddin Ishak
#stesen minyak
#temerloh